top of page
nabalunews

Dewan terbuka Lahanas Siba Kadamaian siap sepenuhnya


18 Oktober 2024


KOTA BELUD: Komuniti Kampung Lahanas Siba, Kadamaian, Kota Belud kini dapat menarik nafas lega apabila Dewan Komuniti Terbuka Lahanas Siba telah siap sepenuhnya pada 17 Oktober lalu.


Pembinaan dewan ini telah lama dinantikan oleh penduduk setempat dan kini mereka dapat menikmati kemudahan ini sepenuhnya.


Menurut Kudua Darisoh, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lahanas, pembinaan dewan terbuka berkeluasan 40 kaki x 50 kaki ini menelan kos sebanyak RM50,000.


Pembinaannya yang bermula pada 28 Julai lalu, dilaksanakan secara gotong-royong oleh komuniti kampung, yang menonjolkan semangat perpaduan dan kesepakatan penduduk dalam merealisasikan projek ini.


Peruntukan tersebut merupakan hasil usaha Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.


Peruntukan khas ini diumumkan beliau pada 25 Mei lalu semasa merasmikan Pesta Kaamatan Lahanas Siba.


Kudua merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Datuk Ewon di atas sumbangan besar beliau dalam pembangunan komuniti.


"Sebagai Pengerusi JKKK, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada YB Datuk Ewon Benedick atas peruntukan RM50,000 yang telah diberikan khusus untuk Kampung Lahanas.


Dengan usaha beliau, pelbagai infrastruktur telah berjaya dibangunkan di kampung ini, termasuk Dewan Komuniti Tertutup Lahanas Sokid, Dewan Terbuka Lahanas Siba, Rumah Sejahtera, jalan konkrit, tandas komuniti serta pelbagai kemudahan dan sumbangan touchpoint untuk belia, gereja, dan pelajar-pelajar," kata Kudua.


Kudua turut menambah bahawa pembinaan dewan terbuka ini membawa manfaat besar kepada penduduk kampung.


"Dewan terbuka ini, yang sekian lama diidamkan oleh penduduk Kampung Lahanas Siba, kini menjadi kenyataan. Dewan ini pastinya akan memberi manfaat yang besar kepada komuniti untuk pelbagai aktiviti seperti sukan, majlis perkahwinan, Pesta Kaamatan, dan acara-acara lain.


"Penduduk kampung kini tiada alasan untuk tidak menyokong beliau sebagai wakil rakyat di Kadamaian pada masa akan datang, lebih-lebih lagi dengan pembinaan Jalan Aspal Tengkurus-Lahanas yang sedang dalam proses sekarang," jelas beliau.


Ewon yang telah berkhidmat sebagai ADUN Kadamaian sejak 2018, sebelum ini memegang portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah sehingga tahun 2020.


Kini, beliau meneruskan khidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi setelah memenangi kerusi Parlimen Penampang pada November 2022.


Penyiapan Dewan Terbuka Lahanas Siba ini bukan sahaja memberikan kemudahan kepada penduduk, malah turut mencerminkan usaha berterusan Datuk Ewon dalam memperkasa komuniti luar bandar di Kadamaian.

Comments


bottom of page