Dewan Terbuka Tamu Desa Pongindopuan, Kg. Rangalau, sudah 85% siap
4 Disember 2024
KOTA BELUD: Dewan Terbuka Tamu Desa Pongindopuan, Kampung Rangalau, Kota Belud kini sudah 85 % siap dan bakal beroperasi dengan kapasiti yang besar untuk pelbagai acara seperti pasar tamu, majlis perkahwinan, dan aktiviti komuniti yang lain.
Pada Selasa, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Kadamaian, Juin Kolod yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick meninjau kemajuan pembinaan dewan ini.
Katanya pembinaan Dewan Terbuka Tamu Desa Pongindopuan di Kampung Rangalau ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti sosial, ekonomi, dan budaya.
Dalam tinjauan tersebut, Juin menyatakan bahawa projek pembangunan dewan terbuka ini telah mencapai kemajuan 85%, dengan kerja-kerja utama sudan hampir siap sepenuhnya.
"Dewan yang dirancang dengan kapasiti yang besar ini akan menjadi ruang yang fleksibel untuk pelbagai acara seperti pasar tamu, majlis perkahwinan, dan aktiviti komuniti lain," katanya.
Juin juga menekankan bahawa walaupun projek ini sudah hampir siap, terdapat beberapa elemen kecil yang perlu diselesaikan bagi memastikan keseluruhan struktur selamat dan berfungsi dengan baik.
"Dewan Terbuka Tamu Desa ini dijangka akan memberikan impak yang signifikan kepada pembangunan sosial dan ekonomi Kampung Rangalau, Kota Belud, apabila siap sepenuhnya," kata Juin.
Comments