DFN20230 pacu industri francais negara ke peringkat global
8 Februari 2025
KUALA LUMPUR: Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030) akan memperkukuhkan lagi ekosistem industri francais negara seterusnya memperluaskan akses pasaran di peringkat domestik dan antarabangsa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, DFN2030 menggariskan lima teras utama iaitu menambah baik polisi dan tadbir urus, mempromosi francais sebagai model perniagaan pilihan, memantapkan kapasiti dan keupayaan usahawan francais.
Selain itu katanya, ia juga akan mengoptimumkan capaian bantuan kewangan kepada usahawan francais dan meningkatkan akses ke pasaran domestik dan antarabangsa.
“DFN 2030 bertemakan “Ekosistem Francais Yang Dinamik dan Mampan” merupakan platform strategik yang mampu melonjakkan prestasi usahawan francais ke arah pembangunan industri yang lebih holistik.
“Ini akan membolehkan mereka berkembang bukan sahaja di dalam negara, malah menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan PERNAS International Franchise Festival (PIFF 2025) dan melancarkan DFN2030, di KLCC, di sini, kelmarin.
Mengenai PIFF 2025, Ewon berkata festival itu yang disertai jenama-jenama terkenal dari dalam dan luar negara menjadi medan rangkaian strategik yang menginspirasikan usahawan francais melalui inovasi perniagaan dan kolaborasi global.
Festival PIFF 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Februari bertemakan “Brew Your Success, Empowering Entrepreneurs”, memberi tumpuan kepada industri kopi, teh, dan kafe.
Beliau berkata melalui inisiatif ini, KUSKOP dan PERNAS yakin industri francais negara akan terus berkembang pesat, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab francais utama di rantau Asia.
Pada majlis itu Ewon turut menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara PERNAS dengan rakan strategik, iaitu SME Corp, Prasarana Development Sdn Bhd (PRIDE), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan TERAJU.
Selain itu, sesi penyerahan pembiayaan turut diadakan melalui Skim Pembiayaan PERNAS bagi menyokong pertumbuhan usahawan francais tempatan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi PERNAS, Dato’ Hazimah Zainuddin, serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah.
Comments