Digital Board Pacu Transformasi Pembelajaran SJKC Yue Min

3 Mac 2025
PENAMPANG: Penggunaan papan digital interaktif atau Digital Board dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi pemangkin kepada transformasi digital dalam pendidikan.
Guru Besar SJKC Yue Min, Brenden Ling Sui Tiing, berkata pembudayaan digitalisasi melalui teknologi interaktif bukan saja meningkatkan kualiti PdP, malah turut membantu dalam meningkatkan prestasi pelajar.
Katanya, inisiatif ini menjadi pemangkin dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih positif dan selesa bagi pelajar.
“Pengunaan Digital Board yang mewujudkan suasana pembelajaran interaktif di dalam bilik darjah akan menggalakkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian dan Pelancaran Papan Digital Interaktif, di sini, hari ini.
Menurut Brenden, inisiatif ini melibatkan pemasangan papan digital interaktif di 38 bilik darjah SJKC Yue Min melalui peruntukan sebanyak RM50,000 yang disalurkan oleh Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tahun lalu.
Sementara itu, Pengerusi PIBG, Victor Voo Li Kiam berkata sumbangan papan digital interaktif ini mencerminkan komitmen Ewon yang juga Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi dalam memperkasakan sektor pendidikan negara.
“Ia memberi impak besar kepada pelajar dan pendidik yang terus menikmati manfaat daripada penambahbaikan ini.
“Sumbangan yang disalurkan akan memastikan SJKC Yue Min kekal sebagai institusi pembelajaran yang kondusif, menyokong pembelajaran yang lebih berkesan serta pembangunan modal insan berkualiti,” katanya.
Comentarios