top of page
  • nabalunews

Dr Dzulkefly mahu kematian doktor pakar di Hospital Lahad Datu disiasat, KKM tidak toleransi kes buli


16 September 2024


KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan bertoleransi dengan sebarang perbuatan buli terhadap kakitangannya.


Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perbuatan buli tidak pernah menjadi budaya KKM, malah perkara itu kekal menjadi dasar utama kementerian tersebut.


Sehubungan itu beliau menggesa siasatan dijalankan ke atas kematian pakar patologi, Dr Tay Tien Yaa di Hospital Lahad Datu pada 29 Ogos lalu

yang didakwa menjadi mangsa buli serta menghadapi tekanan kerja yang tinggi.


Dalam hantaran di media sosial, Dzulkefly berkata kesemua kakitangan KKM berhak dan sepatutnya bekerja dalam persekitaran yang selamat dan adil.


“Kematian Dr Tay Tien Yaa mesti disiasat lebih lanjut.


“Sejak 2018 (ketika pertama kali menjadi menteri kesaihatan) saya tiada toleransi terhadap budaya buli dan akan kekal teguh dengan dasar ini,” katanya.


Semalam, polis Lahad Datu dilaporkan menolak kemungkinan ada unsur jenayah berhubung kematian Tay, seorang pakar patologi di Hospital Lahad Datu, yang didakwa membunuh diri kerana menjadi mangsa buli.


Sebelum ini, doktor berkenaan yang dikatakan baharu sahaja melaporkan diri di Hospital Lahad Datu ditemui meninggal dunia di rumah sewanya.


Adik mangsa mendakwa kakaknya ditindas oleh ketua jabatan hospital tersebut selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.




Menerusi perkongsian melalui akaun Facebooknya adik mangsa turut mendakwa, kakaknya yang sebelum ini berkhidmat sebagai ketua unit terpaksa berurusan dengan pemeriksaan instrumen, menghadiri mesyuarat, penyediaan laporan, menguruskan sumber manusia dan perancangan kewangan jabatan, lapor Sinar Harian.


Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan dibuat ahli keluarga mangsa, tetapi polis belum dapat menentukan punca kejadian tersebut.


"Tetapi daripada siasatan kami, tiada unsur jenayah buat masa ini," kata Dzulbaharin seperti dilaporkan oleh The Star.


Dia menambah pihaknya akan menyerahkan isu dakwaan buli itu kepada Kementerian Kesihatan.


Menurut makluman kematian yang dikeluarkan oleh Hospital Lahad Datu, Tay meninggal dunia pada 29 Ogos.


Adiknya, yang menggunakan nama YS Tay di Facebook, dalam satu hantaran semalam mendakwa Tay yang melapor diri di hospital Lahad Datu pada Feb lalu meninggal dunia akibat tekanan dan menjadi mangsa buli.


Dia berkata, kakaknya yang baru berkahwin dijanjikan oleh pihak pengurusan akan dipindahkan kembali ke Semenanjung untuk bersama suaminya selepas dua tahun perkhidmatan.


Ketika dihubungi Malaysiakini, adik mendiang, Wenya Tay mengesahkan kematian Tay.


Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut kerana siasatan polis masih berjalan.


Kematian Tay Tien berlaku di tengah-tengah aduan tentang keadaan kerja yang teruk dan perbuatan buli terhadap kakitangan kesihatan di hospital kerajaan di Sabah oleh pegawai yang lebih senior.


Dilaporkan doktor mengalami penderaan lisan dan fizikal di hospital, termasuk cemuhan, cercaan perkauman dan ancaman dengan objek tajam kerana tidak mengikut arahan.

Comments


bottom of page