top of page
  • nabalunews

Draf MoU peruntukan pembangkang didedahkan


16 September 2024


KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini mendedahkan dua draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sebagai langkah untuk membuktikan ketelusan Kerajaan Madani.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan, beliau menjelaskan bahawa pendedahan tersebut bertujuan membolehkan rakyat menilai sendiri dan melihat bahawa dakwaan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mengenai draf tersebut adalah tidak berasas sama sekali.


"Memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media berhubung MoU berkenaan, maka dengan ini saya mengemukakan dua draf MoU berkenaan kepada pihak media untuk membuktikan ketelusan Kerajaan Madani.


"Niat Kerajaan Madani ini adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni dan supaya semua Ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi dan dapat memainkan peranan dengan lebih konstruktif sebagai semak dan imbang," katanya.


Menurut Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan ini penting supaya sepenuh tenaga dapat ditumpukan dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia.


Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kandungan dokumen yang mengandungi enam intipati utama itu jelas membuktikan komitmen kerajaan terhadap MoU tersebut.


Berdasarkan dokumen yang didedahkan itu, enam intipati tersebut antaranya tempoh kuat kuasa dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen ke-15 atau pada 19 Disember 2027.


Turut terkandung dalam intipati tersebut adalah obligasi PN yang menyentuh peranan dan fungsi ahli Parlimen pembangkang sebagai komponen penting dan aku janji sebagai wakil rakyat berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.


"Selanjutnya, turut terdapat dalam draf tersebut ialah obligasi Kerajaan Persekutuan yang mana kerajaan perlu mengakui bahawa ahli PN mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Diraja.


"Intipati seterusnya melibatkan ketelusan dan tiada kerahsiaan yang mana MoU ini tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan," katanya.


Turut terkandung dalam dokumen itu adalah mengenai aspek pemakaian undang-undang yang mana dokumen ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia.


Intipati terakhir menyebut MoU ini secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut MoU ini. Ini melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.


Pada Ahad, media melaporkan pembangkang sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana beberapa syarat dikenakan dalam dokumen dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.


Hamzah berkata, MoU itu turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.

ความคิดเห็น


bottom of page