Dua bangunan penyimpanan SK Klias Kecil musnah dalam kebakaran

13 Mac 2025
BEAUFORT: Dua bangunan lama yang dijadikan stor penyimpanan peralatan sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Kecil, Beaufort, musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan dalam insiden tersebut.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada jam 8:50 pagi, sebelum mengerahkan pasukan bomba ke lokasi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Kimanis, dan Kuala Penyu dengan kekuatan 19 anggota serta tiga jentera tiba di lokasi pada 9:11 pagi.
“Kebakaran melibatkan dua bangunan lama yang digunakan sebagai stor penyimpanan. Bangunan pertama bersaiz 20x30 kaki persegi dan bangunan kedua 20x100 kaki persegi, kedua-duanya terbakar 100 peratus,” menurut laporan komander operasi, PBK II Abdul Khalid.
Pasukan bomba menggunakan satu aliran dua pancutan sepanjang 400 kaki dengan sumber air dari jentera dan tangki air untuk operasi pemadaman.
Api berjaya dikawal pada 9:28 pagi, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10:55 pagi selepas pemeriksaan memastikan tiada bahaya lain di kawasan tersebut.
Comments