top of page
  • nabalunews

Dua Beranak Hilang Ketika Mandi di Air Terjun Kokol Ditemui Selamat

20 September 2024


KOTA KINABALU: Kegembiraan sebuah keluarga mandi manda di kawasan Air Terjun Kokol Hobbiton Forest, Manggatal, petang tadi bertukar menjadi detik mencemaskan apabila dua daripadanya iaitu bapa dan anak perempuannya, hilang kerana dipercayai tersesat ketika keluarga berkenaan bersiap untuk pulang.


Bagaimanapun dua beranak itu, Yusri Pungut, 51, dan anak perempuannya, Nur Delisyah Yusri, 5, akhirnya

ditemui selamat jam 6.06 petang tadi.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Pegawai Bomba Kanan II, Willfred Sulai, memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian ini pada jam 5.10 petang.


Menurut Willfred, sepasukan 11 anggota bersama sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) segera digerakkan ke lokasi untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).


"Berdasarkan maklumat daripada pengadu, iaitu isteri kepada mangsa, beliau menyedari kehilangan suami dan anaknya ketika mereka tidak keluar dari kawasan air terjun seperti yang dirancang. Setelah menunggu hampir tiga jam, pengadu mula khuatir akan keselamatan mereka dan terus menghubungi pihak bomba serta polis," katanya ketika dihubungi.


Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, mereka segera melaksanakan operasi pencarian dengan menyusuri denai menuju ke arah air terjun.


"Pada jam 6.06 petang, kedua-dua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat. Mereka dikatakan telah keluar dari kawasan hutan dan menuju ke jalan utama secara sendiri," jelasnya.


Keseluruhan operasi berakhir dengan kejayaan dan semua mangsa selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Commentaires


bottom of page