Dua bot nelayan ditahan
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_279ebdd41d6b4415b682449a88003ee7~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_552,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/d65831_279ebdd41d6b4415b682449a88003ee7~mv2.jpg)
13 Februari 2025
KUDAT: Dua bot nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan melakukan aktiviti menarik pukat tunda kurang tiga batu nautika dari pantai, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, penahanan kedua-dua bot berkenaan adalah hasil maklumat yang diterima daripada SWASLA Sabah.
Katanya, sebaik mendapat maklumat, Maritim Malaysia terus mengerahkan aset ronda Zon maritim Kudat ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_4d5075913b504820b1275ac220e9ebd6~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_690,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/d65831_4d5075913b504820b1275ac220e9ebd6~mv2.jpg)
“Sebuah bot pukat tunda dikesan di kedudukan sekitar 1.5 batu nautika tenggara Tanjung Tambuluran, manakala sebuah lagi bot pukat tunda dikesan di lokasi sekitar 0.88 batu nautika barat laut Tanjung Bangau.
“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua bot berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menarik pukat tunda kurang tiga batu nautika daripada pantai,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Hasbullah berkata, seramai 10 individu yang berada di kedua-dua bot berkenaan turut diperiksa.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_5ae9d50414f9413f8dfad0d80d81e8a1~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/d65831_5ae9d50414f9413f8dfad0d80d81e8a1~mv2.jpg)
Katanya, mereka terdiri daripada dua tekong warga tempatan dan lapan warga Indonesia berusia lingkungan 27 hingga 56 tahun.
“Semua yang diperiksa memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Bot bersama kru seterusnya ditahan dan diiring ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan iaitu menarik pukat tunda dibawah tiga batu nautika daripada daratan berhampiran,” katanya.