top of page
nabalunews

Dua kakitangan Sabah Electricity cedera kemalangan akibat provokasi ketika bertugas


19 November 2024


LAHAD DATU: Sabah Electricity Sdn Bhd membuat laporan polis pada Isnin susulan insiden melibatkan provokasi dan gangguan terhadap dua pekerjanya yang sedang menjalankan tugas pemotongan bekalan elektrik di Kampung Sapagaya di sini, yang mengakibatkan kemalangan kenderaan.


Akibat insiden itu, dua kakitangan Sabah Electricity cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ketika dikejar sebuah kenderaan lain yang dipandu seorang lelaki di Kampung Sepagaya, di sini, pada Isnin.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kedua-dua pekerja itu sedang melakukan kerja pemotongan bekalan elektrik di rumah yang mempunyai tunggakan bil elektrik, sebelum seorang lelaki yang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Vigo hitam menghalang kenderaan mereka dalam keadaan marah.


Berdasarkan kenyataan Sabah Electricity, ketika itu, kedua-dua kakitangannya berada dalam kenderaan jenis Mitsubishi Triton milik syarikat utiliti itu yang berhenti di bahu jalan sambil meneliti senarai arahan pemotongan bekalan.


Lelaki yang sedang marah itu kemudian cuba membuka pintu kereta dinaiki kakitangan Sabah Electricity secara paksa, menyebabkan mereka membuat keputusan untuk beredar tetapi dikejar oleh lelaki terbabit dengan kenderaannya.


Katanya, ketika dikejar, kenderaan yang dipandu anggota kerja Sabah Electricity itu hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan sebelum terjunam ke kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Silam, dekat sini.


Akibat insiden itu, seorang kakitangan Sabah Electricity mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri manakala seorang lagi terseliuh kaki kiri.


“Laporan polis seterusnya dibuat Sabah Electricity kerana berlaku provokasi dan gangguan ke atas anggota kerja yang sedang menjalankan tugas,” kata kenyataan itu.


Berikutan insiden itu, Sabah Electricity mengingatkan ia tidak akan bertolak ansur terhadap apa saja ancaman yang membabitkan keselamatan anggota kerja syarikat itu ketika menjalankan tugas.


“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang secara sengaja mengganggu dan menghalang anggota kerja Sabah Electricity yang sedang menjalankan tugas,” kata syarikat utiliti itu.

Comments


bottom of page