top of page

Dua Kapal Nelayan Asing Ceroboh Perairan Negara Ditahan

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 1 min read


7 April 2025


KUDAT: Dua kapal nelayan asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan menceroboh perairan negara, semalam.


Kedua-dua kapal nelayan Vietnam itu ditahan menerusi Op Khas Pagar Laut kira-kira 11 batu nautika timur laut Pulau Sibogor, jam 3.15 petang, Ahad lalu.


Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kedua-dua kapal nelayan itu dipercayai masuk ke perairan negara untuk ‘merompak’ hasil laut di perairan Kudat.



Katanya, bertindak atas maklumat awam, Maritim Malaysia segera mengerakkan dua bot operasi ke lokasi dan berjaya mengesan dua kapal nelayan asing ya g sedang leka menjalankan aktiviti perikanan haram.


“Ketika cuba dihampiri, kapal berkenaan bertindak memotong tali tunda serta membiarkan tali terjuntai panjang di bahagian belakang vesel.


“Malah anak kapal nelayan berkenaan turut memasang palang besi di bahagian kiri dan kanan vesel berkenaan kerana enggan memberi kerjasama ketika diarah untuk berhenti,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.



Menurutnya, hasil kecekapan pasukan operasi, kedua-dua bot berkenaan berjaya ditahan selepas dikejar hampir 15 minit.


Katanya, hasil penggeledahan, kedua-dua kapal nelayan asing itu disyaki melakukan aktiviti menunda dan menangkap balat dengan penemuan peralatan reka khas untuk mengaut balat.


“Pemeriksaan terhadap kedua-dua kapal berkenaan turut menemui 45 kilogram balat basah serta 500 liter minyak diesel dibawa setiap bot berkenaan.


“Seramai 12 individu warga Vietnam berusia lingkungan 30 hingga 53 tahun ditahan selepas didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.


Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan lebih RM4 juta dan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.

Kommentare


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page