top of page
nabalunews

Dua lelaki didenda RM200, 000, dipenjara kerana memiliki 4 ekor tenggiling hidup



Pasukan JHL mengiringi Azlan (kiri) dan Artan keluar dari kamar mahkamah selepas prosiding pendakwaan.

13 January 2025


Oleh: Wartawan Nabalu News


TAWAU: Dua lelaki didenda RM200, 000 dan dipenjara selama 12 bulan, setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memiliki empat ekor tenggiling hidup dari spesis Pangolin (Manis Javanica) yang dilindungi sepenuhnya.


Tertuduh, Azlan, 34, dan Artan Asrianto, 24, turut diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut oleh Hakim Ahmad Faizadh Yahaya, selepas kedua-duanya mengaku bersalah.


Mereka didakwa memiliki haiwan itu yang merupakan spesis dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 13 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, di tempat letak kereta di hadapan sebuah premis di kawasan Pasaraya Servay Batu 2, Jalan Bubul Semporna sekitar jam 11.40 pagi pada 4 Januari 2025.


Berdasarkan fakta kes, kedua-dua lelaki itu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kereta jenis Proton Persona selepas mendapat maklumat awam dan kemudiannya menemukan empat ekor tenggiling hidup yang disimpan di bonet belakang kenderaan tersebut.


Azlan yang merupakan warga tempatan dan Artan, seorang warga asing, didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41 (4)(a) Enakmen yang sama.


Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM50, 000 dan tidak lebih RM250, 000 dan dipenjara sehingga lima tahun, jika disabitkan kesalahan.


Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut menjalankan pendakwaan, manakala, kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Comments


bottom of page