top of page

Dua pekerja kebun sawit diburu

nabalunews

Kedua-dua suspek dikenali sebagai Anuar, 40-an, serta Saril berusia lingkungan 20-an.
Kedua-dua suspek dikenali sebagai Anuar, 40-an, serta Saril berusia lingkungan 20-an.

2 Februari 2025


BELURAN: Dua pekerja kebun kelapa sawit diburu selepas mencederakan sebelum merompak majikannya dalam kejadian di Kampung Napagang Entilibon, Tongod, di sini, semalam.


Dalam kejadian itu, mangsa, 50, yang juga pemilik kebun dan anaknya, 23, parah akibat ditikam menggunakan besi dipercayai tombak buah kepala sawit.


Kedua-dua mangsa yang cedera di kepala serta badan difahamkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent (HDOK), Sandakan.


Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 3 petang daripada isteri mangsa.


Katanya, siasatan mendapati, kejadian berlaku di kebun persendirian milik mangsa dan kedua-dua suspek juga adalah pekerja mangsa.


“Suspek dikenali sebagai Anuar, 40-an serta Saril berusia lingkungan 20-an dan kedua-dua warga Indonesia itu sudah melarikan diri.


“Kedua-dua suspek turut melarikan kereta Toyota Hilux Single Cab warna putih dengan nombor pendaftaran SAB7801P bersama dokumen penting, telefon bimbit dan dompet milik mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Hasan berkata, usaha memburu kedua-dua suspek sedang dijalankan dan kertas siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.


Sehubungan itu, Hasan berkata, saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan.


Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sandra di talian 011-28066182 dan Asisten Superintendan, Henry AK Laiyau di talian 010-9416656.


“Maklumat juga disalurkan terus ke Balai Polis Beluran (089-511222) atau Balai Polis Tongod (087-748223),” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page