Dua pengedar dadah ditahan

23 Mac 2025
SANDAKAN: Gerak-geri mencurigakan dua lelaki di dalam sebuah pacuan empat roda ketika berselisih dengan Kereta Peronda Polis (MPV) membawa kepada rampasan dadah bernilai RM12,762.
Dalam kejadian jam 1.50 pagi itu, kereta MPV polis mengesan kenderaan suspek ketika sedang menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah di Jalan Lintas Labuk, Batu 8, di sini.
Bagaimanapun, sebaik diperiksa, anggota polis menemui bungkusan plastik mencurigakan yang disyaki berisi dadah jenis Methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek pada awalnya ditahan unit MPV untuk pemeriksaan biasa.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek terus ditahan hasil penemuan dadah berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan unit MPV, polis menemui bungkusan dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat 116.02 gram bernilai RM12,762.
“Kedua-dua suspek terus ditahan dan diserahkan bersama rampasan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Comments