Dua Pesakit Terima Katil Boleh Laras Sumbangan Yayasan Bank Rakyat

27 Mac 2025
KOTA BELUD: Dua individu dari Kampung Kiau Nuluh dan Kampung Kiau Bersatu menerima sumbangan katil boleh laras melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Kakitangan Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Shainim Epin, menjelaskan bahawa penerima sumbangan tersebut adalah pesakit yang hanya mampu terlantar dan memerlukan bantuan khas. Mereka ialah Saleha Kimboi dari Kampung Kiau Nuluh dan Nasi Sarabun dari Kampung Kiau Bersatu.
Penyerahan katil tersebut diselaraskan oleh Kelab Kebajikan Kadamaian melalui Program ' I Care Kadamaian' dengan pemantauan oleh Pejabat Khidmat ADUN Kadamaian.
Turut hadir dalam program penyerahan ialah Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Deukin.
Menurut Joel, usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kelab Kebajikan Kadamaian yang bertujuan membantu masyarakat yang kurang bernasib baik. Beliau berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban keluarga pesakit dan meningkatkan keselesaan mereka dalam menjalani kehidupan seharian.
"Katil boleh laras ini dapat memberikan keselesaan lebih baik kepada pesakit yang terlantar. Ia juga memudahkan ahli keluarga dalam menguruskan penjagaan harian," katanya.
Menurut Joel lagi, Kelab Kebajikan Kadamaian sentiasa komited dalam melaksanakan program kebajikan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat. Dengan kerjasama pihak berkaitan seperti Yayasan Bank Rakyat dan Pejabat Khidmat ADUN Kadamaian, lebih ramai individu yang memerlukan dapat dibantu.
"Sumbangan ini menunjukkan kepedulian terhadap kesejahteraan masyarakat, terutama kepada mereka yang bergelut dengan masalah kesihatan dan keterbatasan fizikal." Katanya.
Comentários