Dua rumah musnah terbakar
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_8b6f05232e094c118f46e0be96a02e9e~mv2.jpg/v1/fill/w_852,h_632,al_c,q_85,enc_avif,quality_auto/d65831_8b6f05232e094c118f46e0be96a02e9e~mv2.jpg)
15 Februari 2025
TAWAU: Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Budaya Pasir Putih, Tawau, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.33 tengah hari.
Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama empat jentera terus digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu memadam api kebakaran.
"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran berkenaan membabitkan dua rumah jenis separuh kekal.
"Pasukan operasi menggunakan empat pancutan sumber air dari jentera bomba untuk memadam api kebakaran," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua rumah musnah hampir 100 peratus, namun tiada sebarang laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.
"Api berjaya dikawal pada jam 1.05 petang sebelum dipadam sepenuhnya pada jam 3.34 petang," katanya.
Comments