Dua Sahabat Maut Dirempuh Ketika Menukar Tayar

22 Mac 2025
PAPAR: Dua sahabat maut selepas dirempuh kereta terbabas ketika sedang menukar tayar di Kilometer 9, Lebuhraya Pan Borneo, dekat Nagapas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun dan 62 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, berdasarkan siasatan awal, pemandu lori berusia 62 tahun berhenti di bahu kiri jalan selepas kenderaannya mengalami masalah tayar.

Katanya, ketika sedang menukar tayar, mangsa cuba dibantu oleh seorang lagi rakannya yang juga pemandu lori.
"Ketika sedang menukar tayar, sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun yang bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke arah Kimanis dipercayai hilang kawalan dan terbabas.
“Kenderaan malang berkenaan terus merempuh kedua-dua mangsa yang sedang menukar tayar sebelum terbalik di sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Papar.
Manakala katanya, pemandu dan penumpang Proton Saga dibawa ke Hospital Papar untuk menerima rawatan kerana turut mengalami cedera di bahagian kaki dan tangan.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat.
"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Comments