DUN Sabah Bersidang 10 April Depan

18 Mac 2025
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan bersidang selama lima hari bermula 10 April depan.
Penetapan tarikh persidangan itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong menerusi keluaran khas Warta Kerajaan Sabah, 12 Mac lalu.
Menerusi warta berkenaan, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman membuat proklamasi memanggil persidangan DUN mengikut Fasal (1) Artikel 21 Perlembagaan Negeri Sabah.
Fasal berkenaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sabah boleh dari semasa ke semasa memanggil DUN untuk bersidang.
Persidangan di Bangunan DUN itu dijadual bermula pada 10 April sebelum disambung pada 14, 15, 16 dan 17 April.
Untuk rekod, persidangan akan dimulakan dengan istiadat pembukaan DUN dan ucapan dasar kerajaan negeri yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri.
Persidangan DUN kali ini akan menyaksikan perasmian pertama oleh Tun Musa yang mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Januari lalu.
Mesyuarat Pertama Penggal Kelima 2025 DUN Sabah Ke-16 itu dijangka menjadi persidangan terakhir sebelum DUN sekarang dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Comments