top of page

Eco-Camp KOTAMU di Kg Lompios Lasau tarikan baharu pelancong di Kadamaian

nabalunews



21 Januari 2025


KOTA BELUD: Terletak kira-kira 32 kilometer dari Pekan Kota Belud, Eco-Camp KOTAMU Kampung Lompios Lasau Kadamaian Kota Belud membawa pengunjung melalui pemandangan memukau berlatar belakangkan panorama Gunung Kinabalu.


Menariknya, eco-pelancongan tersebut juga pernah dijadikan lokasi penggambaran filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, di Lapang Sasar Udara Kem Paradise Kota Belud.


Di Eco-Camp KOTAMU, pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti rekreasi dan budaya. Sungai Sorob yang jernih serta kolam buatan menyediakan pengalaman bersantai dan berenang dalam persekitaran semula jadi.



Pengunjung juga boleh mencuba permainan tradisional seperti sepak manggis dan gugundang, yang membawa mereka lebih dekat kepada warisan budaya tempatan.


Bagi mereka yang hadir dalam kumpulan, gelanggang bola tampar dan sepak takraw turut tersedia. Tidak ketinggalan, taman bunga yang indah menjadi tempat ideal untuk bergambar, sementara tamu desa pada hari Sabtu menyajikan produk segar dan kraf tangan tempatan.


Eco-Camp KOTAMU juga menawarkan pengalaman pembelajaran melalui lawatan ke ladang lada hitam dan kilang pemprosesannya. Aktiviti ini sangat sesuai untuk pencinta pertanian yang berminat mempelajari teknik penanaman dan penjagaan tanaman.



Untuk memastikan keselesaan pengunjung, pelbagai pilihan penginapan disediakan, termasuk tapak perkhemahan, chalet, dan pondok. Kemudahan asas seperti tandas bersih, surau, dan gereja juga tersedia.


Pengunjung tidak perlu risau tentang penyediaan makanan kerana terdapat kafeteria halal serta mini market yang lengkap di kawasan tersebut. Selain itu, ruangan dewan terbuka yang luas memudahkan penganjuran acara seperti majlis hari keluarga, ulang tahun, dan perkahwinan.


Menurut Pengerusi Eco-Camp KOTAMU, Janus Tioon, kemudahan ini dirasmikan pada Januari 2023 oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang juga ADUN Kadamaian. Projek ini bertujuan untuk memacu pembangunan ekonomi dan mempromosikan budaya tempatan di Kadamaian.


Dengan gabungan alam semula jadi, pembelajaran, dan kemudahan moden, Eco-Camp KOTAMU adalah pilihan ideal untuk pelancong yang mahukan pengalaman unik. Bagi maklumat lanjut atau tempahan, sila hubungi Janus Tioon di talian 016-831-2878.

Comments


bottom of page