top of page

Eko Pelancongan Ikan Jinak Melangkap Tiong antara calon Anugerah Khas Sumber Air Negara 2022

Wartawan Nabalu News


9 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


Eko Pelancongan Ikan Jinak Melangkap Tiong Kota Belud, satu-satunya eko pelancongan di Sabah dicalonkan dalam Anugerah Khas Sumber Air Negara, tahun ini.


Pertandingan itu anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kementerian Alam Sekitar dan Air, disertai tujuh peserta lain antaranya dari Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Pahang dan Kelantan. Pemenang akan menerima hadiah keseluruhan sebanyak RM20,000.


Eko Pelancongan Melangkap Tiong yang terletak 31 kilometer dari Pekan Kota Belud dan 96 kilometer dari pusat Bandaraya Kota Kinabalu merupakan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti yang dijalankan oleh penduduk kampung itu.


Anichlose Kesimin

Setiausaha Eko Pelancongan Ikan Jinak Melangkap Tiong Anichlose Kesimin berkata, sekiranya menang, mereka akan menggunakan hadiah kemenangan itu untuk menaiktaraf kawasan pelancongan itu.


Beliau berkata, eko pelancongan itu mula dibuka pada 2012 dan memulakan operasi secara serius pada 2014.


“Aktiviti utama yang dijalankan adalah rekreasi sungai seperti bermain dengan ikan jinak, mandi-manda dan hiking.


“Kawasan ini menjadi tumpuan utama para pelancong tempatan dan luar negeri terutamanya pada setiap hujung minggu dan semasa cuti umum,” katanya dan menambah jumlah kedatangan pengunjung sebelum wabak Covid-19 dalam lingkungan 3,000 hingga 4,000 orang sebulan.


Dari kiri ke kanan: Walter, Kundian, Domius dan Anichlose.

Dari segi pendapatan, beliau berkata, pada permulaan operasi hanya sekitar RM200 hingga RM500 sebulan bagaimanapun bermula pada tahun 2015 selepas jalan raya Kampung Melangkap diaspal jumlah kehadiran pelancongan meningkat berlipat kali ganda sekaligus meningkatkan pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.


Hasil pendapatan yang dijana dari aktiviti pelancongan, telah memberikan dividen tahunan kepada ahlinya dan mereka berupaya menyumbang kepada aktiviti-aktiviti di kampung termasuk pemuliharaan sungai.


Komuniti ini juga berjaya mendapat beberapa perakuan dan pengiktirafan atas usaha dan kejayaan gerak kerja mereka. Antaranya mencapai taraf sistem tagal berjaya dan Anugerah High Achievers.



“Sejak dibuka sehingga kini Eko Pelancongan Melangkap Tiong meraih pelbagai anugerah. Antaranya Anugerah Sijil Mencapai Sistem Tagal Berjaya bagi Daerah Kota Belud pada 2017, Anugerah Pencapaian Tertinggi sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sabah.


“Selain itu kami juga adalah penyumbang utama kepada Anugerah Pelancongan Terbaik berasaskan komuniti Peringkat Asian di Hanoi, Vietnam pada 2019,” katanya.


Berdasarkan kajian pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2018, ikan jinak atau ikan Pelian yang ada di Eko Pelancongan Melangkap Tiong adalah yang paling jinak berbanding ikan jinak di kawasan lain.


“Sebab itu, antara tarikan utama di sini ialah Ikan Jinak atau Ikan SPA dan kejernihan air Sungai Paramat,” katanya dan menambah setakat ini tiga pekerja sepenuh masa bertugas di eko pelancongan itu setiap hari namun akan ditambah pada masa puncak dan hujung minggu bagi memudahkan pengurusan pendaftaran pengunjung.



Mengimbas titik mula eko pelancongan itu dimulakan, Anichlose berkata, ia diusahakan oleh komuniti kampung melibatkan 119 ahli.


“Pada peringkat awal pengwujudan Eko Pelancongan, penduduk kampung ‘rukut-rukut’ untuk membeli keperluan membina pondok-pondok rehat dan penyediaan tapak yang dilaksanakan secara bergotong-royong.


“Begitu juga dengan penjagaan atau pemantauan ikan, kami lakukan secara bergilir-gilir dalam masa 24 jam,” katanya.


Selepas berusaha beberapa tahun, komuniti kampung itu mampu membina beberapa fasiliti pelancongan lain seperti dewan, pondok dan sebagainya.


Anichlose berkata, bantuan pertama yang mereka terima daripada pihak kerajaan ialah Dewan Mini Terbuka pada tahun 2014 atas usaha Datuk Ewon Benedick yang ketika itu sebagai Setiausaha Politik.


“Ketika itu beliau (Datuk Ewon) membawa Datuk Yahya Hussin (Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian pada masa itu) dan Pengarah Pertanian dan Perikanan Sabah melawat Eko Pelancongan Kg. Melangkap Tiong.



“Pada masa kini, sudah ada beberapa bantuan seperti pondok rehat dan juga naiktaraf jalan telah disalurkan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.


Peranan komuniti bantu capai ojektif Hari Sungai Sedunia


Anichlose berkata, antara peranan penduduk kampung mencapai objektif Hari Sungai Sedunia iaitu menjaga kawasan tadahan air dan persekitaran sungai ialah mengadakan gotong-royong secara berkala untuk memastikan kebersihan sungai selalu terpelihara.


“Selain itu kami juga menanam pokok-pokok hiasan di tebing-tebing sungai untuk mengindahkan kawasan.


“Bagi memastikan kelestarian hidupan akuatik di sungai, kami turut melaksanakan sistem ‘tagal’ atau kawasan larangan menangkap ikan dan hidupan lain dalam sungai. Sepanjang 2km Sungai Peramat telah di ‘tagal’ untuk melindungi hidupan akuatik sungai termasuklah ikan Pelian (ikan Kelah).



“Kami membuat undang-undang atau peraturan sendiri untuk melarang penebangan pokok disepanjang kawasan koridor sungai dan pembuangan sampah dalam persekitaran sungai,” katanya.


Bagi meningkatkan kesedaran kepentingan penjagaan alam sekitar terutamanya kebersihan sungai, pihak Eko Pelancongan itu mengadakan bengkel kesedaran dan pendidikan kepada komuniti setempat.


“Komuniti juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Perikanan Sabah dalam pengurusan larangan menangkap ikan (sistem Tagal),” katanya.


Impak aktiviti pelancongan kepada komuniti dan sumber air


Setelah beberapa tahun melaksanakan aktiviti pelancongan, komuniti Kg.Melangkap Tiong kini mampu membina beberapa fasiliti pelancongan seperti dewan, pondok dan sebagainya.



Selain itu, dari aktiviti pelancongan yang dijalankan ia mampu perolehi pendapatan melebihi RM10,000 sebulan.


Anichlose berkata, tarikan utama pengunjung ke eko pelancongan itu ialah untuk melihat dan bermain dengan Ikan Kelah (Pelian).


“Ikan Kelah adalah spesies yang sensitif kepada perubahan kualiti air sungai. Hasil usaha dan kerjasama komuniti dalam menjaga kuantiti dan kualiti air sungai, ikan Kelah dan hidupan lain dalam sungai hidup segar dan sihat.


“Kejayaan ini sekaligus meningkatkan semangat dan kesedaran kepada penduduk kampung betapa pentingnya penjagaan sumber air kepada aktiviti pelancongan,” katanya.


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Penolong Pengarah Kanan JPS Sabah James D Giluk dan Presiden KATA Welter Kandayon atas sokongan dan turut serta bersama komuniti dalam pembentangan di Putrajaya baru-baru ini.


Dalam pembentangan itu Eko Pelancongan Ikan Jinak Melangkap Tiong diwakili oleh Timbalan Pengerusi Eko pelancongan Kundian Sumbin dan Setiausaha Eko Pelancongan Anichlose. Turut serta Pengerusi Bombon Domius Salindap.



Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page