Ekonomi anggota APEC perlu lawan trend perlindungan, sekatan perdagangan – PM
17 November 2024
LIMA: Ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) perlu melawan trend perlindungan dan sekatan perdagangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, APEC tidak boleh berdiam diri terhadap amalan diskriminasi serta langkah-langkah yang menyekat perdagangan bebas dan adil.
Tegas beliau, menerusi semangat APEC, pakatan tersebut perlu mengecam politik tidak pasti (ambivalen) dan kegagalan untuk bertindak balas secara berkesan terhadap ketidakkonsistenan serta amalan diskriminasi termasuk kekejaman yang dilakukan terhadap manusia.
“Saya amat berbesar hati kerana ini adalah satu daripada sesi awal APEC yang menyentuh beberapa bencana dunia.
“Ini adalah antara satu sesi APEC yang sedikit sebanyak menyentuh kekejaman yang jelas terhadap rakyat Gaza, yang mana kadang-kadang kita memilih untuk mengabaikannya dan bertentangan dengan semangat kemanusiaan sejati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pencelahan (Intervensi) Malaysia semasa Sesi Pemukiman Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) APEC ke-31, di sini, lapor Buletin TV3.
Menurut Anwar, perdagangan bebas mesti berkembang untuk merangkumi perdagangan yang saksama dan berperikemanusiaan iaitu sebuah rangka kerja yang memastikan manfaat perdagangan dikongsi secara inklusif tanpa sesiapa yang ketinggalan.
Beliau berkata, visi itu perlu menjadi falsafah panduan APEC untuk menghidupkan semula Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP) dengan menggabungkan elemen moden seperti akses perdagangan digital, peruntukan mesra iklim dan pemberdayaan ekonomi kecil.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata ekonomi yang berperikemanusiaan dengan amalan buruh yang adil, pengagihan peluang yang saksama dan daya tahan iklim mesti digerakkan oleh dasar yang sesuai.
Sehubungan itu katanya APEC harus menjuarai hal tersebut dengan memperkukuhkan peranannya sebagai penghasilan idea dan menyokong dasar yang meningkatkan prestasi pekerja, memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menjadikan kelestarian sebagai teras kemajuan.
“Saya memilih untuk menekankan perkara ini kerana terdapat cakap-cakap sinis (sinisme) yang semakin meningkat bahawa perbincangan kita hanya menguntungkan segelintir pihak dan mengabaikan nasib golongan terpinggir dan miskin di rantau kita,” katanya.
Pada masa sama, ujarnya, pertumbuhan ekonomi mesti diukur lebih daripada sekadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ia perlu mencerminkan kesejahteraan rakyat dan kesihatan bumi.
“Kerangka Ekonomi MADANI Malaysia menjelmakan visi ini, menggabungkan kekuatan ekonomi dengan keadilan sosial, penjagaan alam sekitar dan inklusiviti,” katanya.
APEC adalah forum ekonomi serantau yang dibentuk pada 1989 bertujuan menggalakkan perdagangan bebas dan memanfaatkan peningkatan kesalinghubungan rantau Asia Pasifik.
APEC terdiri daripada 21 ekonomi anggota termasuk Malaysia, dengan hampir 40 peratus penduduk dunia, menyumbang separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada pertumbuhan ekonomi global.
Comentarios