top of page
nabalunews

Ekosistem digital kukuh bantu Malaysia capai status negara berpendapatan tinggi



12 Disember 2024


KUALA LUMPUR: Penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) membolehkan Malaysia membina ekosistem digital yang kukuh yang memacu usaha mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata status negara berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai sekiranya didorong oleh penggunaan digital.


“Sekitar 20, 30 tahun lepas tatkala saya mengepalai Kementerian Kewangan, hal-hal ini hanya dianggap suatu permulaan, tetapi ia telah menjadi suatu kemestian," katanya seperti dilaporkan Bernama.


Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran NAIO di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.


“Sebab itu sekali lagi saya tekankan mengapa kita (Malaysia) di antara beberapa negara awal di dunia yang meletakkan (mewujudkan) satu kementerian sebagai Kementerian Digital, kerana ini penentuan untuk menjayakan negara kita,” katanya.


Beliau menyifatkan penubuhan NAIO sebagai satu lakaran sejarah dan merupakan kesungguhan serta ikhtiar negara dalam melaksanakan transformasi digital, sekali gus memacu Malaysia ke tahap sebuah negara berinovasi.


Anwar bagaimanapun berkata usaha tersebut harus bermula dengan peningkatan kecelikan digital bermula daripada pendidikan asas, universiti dan perkhidmatan awam.


Beliau berkata pendedahan awal terhadap digital mampu membawa anjakan paradigma kepada pengurusan negara dan mengelakkan birokrasi terutama dalam perkhidmatan awam.


“Tentunya kita terima kenyataan bahawa cara dan kaedah menjalankan kerja yang lama harus melakukan peralihan atau anjakan paradigma, ia menuntut perubahan, pendekatan dan perubahan sistematik.


“Kita tidak boleh umpamanya hendak jayakan Malaysia sebagai negara digital namun terikat dengan kerangka pemikiran lapuk yang lama, apa lagi kalau kita hendak libatkan umpamanya syarikat besar.


“Ini kerana syarikat besar itu tidak akan membawa kebaikan kepada negara, kalau dia tidak selaraskan dengan penjawat awam, selaraskan dengan SME (Perusahaan Kecil dan Sederhana), PMKS (Perusahaan mikro, kecil dan sederhana) yang juga harus digalakkan (penggunaan digital) supaya memberikan dan menerapkan penyelesaian inovasi yang menuntut mereka membawa perubahan,” katanya.

留言


bottom of page