Ekspedisi penyelidikan musim sejuk Antartika terima 3 pengiktirafan Malaysia Book of Records
14 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Anak kelahiran Ranau, Professor Dr. Justin Sentian dari Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melakar sejarah selaku rakyat Malaysia pertama menjalankan ekspedisi penyelidikan semasa musim sejuk dengan cuaca ekstrem di Antartika selama tujuh bulan antara 21 Mac hingga 21 Oktober 2023.
Sepanjang tempoh itu, beliau juga menjadi rakyat Malaysia yang tinggal paling lama di benua Antartika.
Pencapaian Dr. Justin itu membolehkannya diberi dua pengiktirafan serentak oleh The Malaysia Book of Records (MBOR).
Iaitu sebagai rakyat Malaysia pertama yang menjalankan penyelidikan pada musim sejuk dengan keadaan cuaca melampau di benua sejuk itu dan juga sebagai rakyat Malaysia pertama yang tinggal paling lama di benua Antartika iaitu selama 7 bulan.
Secara keseluruhannya, Ekspedisi Penyelidikan Musim Sejuk Antartika 2023 telah berjaya mencipta tiga rekod yang diiktiraf oleh MBOR melalui tiga kategori.
Iaitu pengiktirafan kepada Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) sebagai penganjur ekspedisi penyelidikan musim sejuk pertama di benua Antartika.
Sepanjang di Antartika, Prof. Dr. Justin telah tinggal dan melakukan kajian di stesen Profesor Julio Escudero milik Chile yang terletak di Pulau King George, Antartika.
Ekspedisi Penyelidikan Musim Sejuk Antartika yang pertama kali diadakan ini
dianjurkan oleh YPASM dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Institut Penyelidikan Antartika Chile dan Kedutaan Chile di Malaysia.
Prof. Dr. Justin telah menerima geran penyelidikan khas bernilai RM150,000 daripada YPASM untuk projek berkaitan perubahan iklim bertajuk ‘Variasi Ozon Troposfera dan Halokarbon di Semenanjung Antartika Dalam Keadaan Cuaca Melampau’.
Sepanjang di benua itu, beliau telah memperoleh data yang merekodkan variasi kepekatan ozon permukaan dan beberapa spesies gas hidrokarbon seperti isoprene sepanjang musim sejuk di Antartika.
Beliau juga mengambil 197 sampel gas dari udara, salji, ais laut dan air laut untuk kajian kandungan spesis halokarbon seperti bromokarbon dan sebagainya.
Sepanjang ekspedisi musim sejuk di Antartika, banyak cabaran yang dihadapinya terutama dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi keadaan cuaca yang sangat ekstrem.
Ada ketikanya, suhu mencapai negatif 44 darjah celcius dan kelajuan angin dengan ribut salji mencecah 120 kilometer sejam.
Hasil kajian ini diharap akan dapat dapat memberi impak signifikan ke atas pemahaman variasi ozon dan spesis hidrokarbon dan halokarbon dalam keadaan cuaca ekstrem pada musim sejuk.
Di samping itu, ia dapat menyumbang kepada penjanaan ilmu baharu bukan sahaja dalam kalangan saintis kimia atmosfera, tetapi juga kepada seluruh masyarakat tempatan dan
global untuk lebih memahami perhubungan kompleks dengan isu-isu semasa seperti perubahan iklim dan penipisan Ozon di Antartika.
"Seperti yang saya katakan, spesies yang menjejaskan lapisan Ozon di hemisfera selatan adalah disebabkan oleh dua perkara. Pertama, dari buatan manusia, iaitu CFC, dan yang kedua dihasilkan secara semula jadi, yang saya ukur. Sekarang, ini adalah sesuatu yang mencabar Protokol Montreal, yang merupakan protokol yang sangat berjaya tetapi disebabkan oleh penemuan baru bahawa terdapat pelepasan dari sumber semula jadi, ia akan menjejaskan proses kawalan spesies yang merosakkan Ozon. Jadi inilah perkara yang perlu kita cari jalan untuk mengimbangkan pelepasan dari sumber-sumber ini," kata Professor Dr. Justin ketika ditemui media di UMS hari ini.
Pengiktirafan MBOR untuk Professor Dr. Justin dan YPASM diberikan secara rasmi dalam satu majlis di UMS yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Turut hadir Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPASM, Datuk Dr Ching Thoo Kim, Naib Canselor UMS,
Prof Datuk Dr. Kasim Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif YPASM, Abdul Shukor Jamaluddin.
Hajiji dalam ucapannya yang dibacakan Ellron berkata pengiktirafan ke atas Professor Dr. Justin dan YPASM adalah bukti bahawa rakyat Malaysia mampu melakukan sesuatu yang di luar daripada kebiasaan.
Katanya pengiktirafan ini melambangkan komitmen dan kejayaan negara dalam kecemerlangan inovasi dan penyelidikan saintifik.
Hajiji berkata pencapaian Professor Dr. Justin bukan sahaja melangkaui kejayaan peribadi beliau, tetapi ianya juga satu tanda kejayaan dan kebanggaan untuk negara kita Malaysia, negeri Sabah dan juga UMS.
Beliau mengajak semua pihak untuk sama-sama mengambil inspirasi daripada kejayaan ini untuk terus berusaha dengan gigih untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Comments