top of page
nabalunews

Eksport bekalan sayur Malaysia ke negara luar berkurangan


1 September 2024


KUALA LUMPUR: Nilai eksport sayur-sayuran dalam negara mencatat pengeluaran rendah berbanding import.


Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, buat masa ini Malaysia mengimport RM6.3 bilion bekalan sayur berbanding RM1.27 bilion bagi jumlah eksport.


Jelasnya, penelitian khusus dan kaedah efektif perlu difikirkan bagi merancakkan lagi sektor berkenaan.


“Negara kita mengimport sebanyak RM6.3 bilion bekalan sayur dan ada sebahagian daripada sayuran itu dihasilkan lebih, yang dieksport sebanyak RM1.27 bilion jadi penghasilan kita lebih kurang RM3.64 bilion.


“Saya lihat industri ini banyak potensi tetapi perlu dilaksanakan dengan strategi yang efisien, contohnya dengan tidak hanya tertumpu kepada pelanggan yang hadir namun dipelbagaikan dengan usaha termasuk memberikan servis kepada pelanggan di hotel, kedai makanan dan pasar mini.


“Proses pengedaran itu penting, kerana kita boleh menghasilkan sayuran, namun cara untuk mengedar juga amat penting dan juga diingatkan ia perlu mengikut harga pasaran semasa,” katanya.


Beliau terdahulu merasmikan pusat pemborong sayuran Cameron Harvest KL dari Cameron Highlands Pahang di sini hari ini.


Turut hadir Penasihat Cameron Harvest KL Datuk Azizulrahman Mohd Hussain Malim.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata langkah berkenaan juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.


“Sekarang ini kita lihat ramai graduan yang keluar daripada universiti namun masih belum mempunyai pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.


“Ia sekaligus dapat mewujudkan suasana dan ekosistem yang baik bermula dengan sektor keusahawanan ini,” ujarnya


Cameron Harvest KL menawarkan sayuran segar antaranya cili hjiau Cameron, cili padi Cameron pedas dan tomato Cameron, terus dari ladang dengan harga yang berpatutan.


Terletak berhampiran Pasar Raja Bot, pusat borong ketiganya itu memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan bekalan sayuran yang berkualiti.

Comments


bottom of page