Elopura Fights: Reunion of Champions 11 hingga 12 Januari 2025 di Sandakan
02 Januari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
SANDAKAN - Elopura Fights: Reunion of Champions, sebuah kejohanan dua hari yang mempamerkan aksi terbaik Muaythai, semangat komuniti dan potensi pelancongan sukan akan berlangsung di Dewan Aktiviti Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, Sandakan, pada 11 dan 12 Januari depan.
Presiden Persatuan Muaythai Sandakan, Mohamad Ajman Ajmain, dalam satu kenyataan di Sandakan pada Khamis berkata, acara itu juga menjanjikan pengalaman yang mendebarkan buat peminat sukan dan penonton umum.
Jelasnya, acara ini akan menampilkan kategori Muaythai Sport (amatur) yang akan melibatkan lebih 100 peserta dari seluruh Sabah dan Malaysia, merangkumi pelbagai kumpulan umur.
Tambahnya, diiktiraf oleh Persatuan Muaythai Malaysia, Persatuan Muaythai Negeri Sabah dan berada di bawah seliaan International Federation of Muaythai Associations (IFMA) serta World Muaythai Council (WMC), kejohanan ini juga akan memastikan tahap profesionalisme dan keadilan yang tertinggi.
"Acara ini turut diiktiraf oleh Jabatan Pendidikan Sabah dan menjadikan ia sebagai aktiviti kokurikulum peringkat negeri untuk pelajar atlet." Ujarnya.
Manakala tarikan utama adalah kategori pertarungan profesional yang bakal mempertemukan pejuang Muaythai Sabah dengan lawan dari seluruh Malaysia.
Katanya, wira tempatan, Riedzwan Norsyahmie Daud dan Dazaisy Hafiyy Aznee bersedia memberikan aksi mendebarkan untuk membanggakan peminat tempatan mereka.
"Menambahkan lagi kehangatan, legenda Muaythai Malaysia seperti Ali Yaakub ‘Captain Malaysia’ dan Hasril Nazmi ‘Dancing Boy’ akan turut beraksi, mempamerkan kemahiran mereka yang tiada tandingan serta membawa persembahan Muaythai ke tahap tertinggi." Ujarnya.
"Dengan menarik peserta, pegawai, dan peminat dari seluruh negara, acara ini dijangka meningkatkan ekonomi Sandakan melalui pelancongan sukan," tambahnya.
Ajman berkata, menerusi penganjuran program ini, ia juga secara langsung diharap dapat membantu perniagaan tempatan, sektor hospitaliti, dan tarikan budaya semuanya dengan manfaat daripada kehadiran pelawat dan menjadikan ini peluang penting untuk mempamerkan Sandakan sebagai destinasi yang dinamik dan mesra.
Dalam pada itu, Ajman berkata, acara ini bukan sahaja membuka kalendar sukan tahun 2025 tetapi juga menandakan permulaan yang berpotensi besar untuk pembangunan pelancongan dan ekonomi Sandakan.
Dengan gabungan keunggulan sukan, penglibatan komuniti, dan promosi budaya, Elopura Fights: Reunion of Champions bakal meninggalkan impak yang berkekalan di rantau ini.
Comments