Empat Lot Kedai Musnah Terbakar

15 Februari 2025
TAWAU: Empat lot kedai musnah selepas satu blok bangunan separuh kekal di Kampung Sungai Burung, di sini, terbakar, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, sebuah kedai kimpalan, warung makan dan dua kedai runcit musnah sepenuhnya dijilat api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.34 petang.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama lima jentera terus digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Operasi turut mendapat bantuan seramai lima anggota dan pegawai dari BBP Kunak dan lapan anggota bomba komuniti Kampung Titingan.
“Kebakaran itu membabitkan satu blok kedai empat lot jenis yang menempatkan bengkel kimpalan, dua kedai runcit dan sebuah warung makan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan dua aliran air dari jentera bomba.
Katanya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaa dilaporkan dan setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kebakaran selamat dan operasi ditamatkan pada jam 4.06 petang,” katanya.
Comments