Empat suspek pengedar dadah diberkas polis
18 December 2024
TAWAU: Empat suspek pengedar dadah, termasuk seorang wanita diberkas polis dalam dua tangkapan berasingan di daerah ini yang membawa kepada rampasan 503.70 gram Syabu dianggarkan bernilai RM17, 000.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menangkap seorang lelaki dan wanita tempatan berumur 29 dan 35 tahun di kawasan bandar kira-kira jam 10.15 malam pada Isnin lalu.
Katanya, sebuah kereta Perodua Bezza yang digunakan kedua-dua suspek tersebut, turut dirampas.
Manakala, dua lagi suspek warga asing berusia 20an dan 40an ditangkap selepas berjaya dijejaki di Jalan Kalabakan pada jam 3 pagi, semalam yang membawa kepada rampasan dadah tersebut.
"Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Sabah bersama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki warga asing tersebut positif dadah jenis syabu, manakala suspek lelaki dan wanita itu pula negatif dari sebarang jenis dadah.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan bagi memastikan rangkaian pengedaran dadah tersebut dapat ditangani sepenuhnya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dalam memerangi jenayah mahupun dadah dengan menyalurkan maklumat kepada polis bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti di daerah ini terjaga.
Comments