top of page

ESSCOM perlu terus diperkasa

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read


6 April 2025


TAWAU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) perlu terus diperkasa meskipun banyak pencapaian dan kejayaan diraih sejak 12 tahun penubuhannya ekoran insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.


Penasihat Pertubuhan Pencegahan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata, ESSCOM perlu terus diperkasa menerusi penambahan aset, latihan taktikal lebih intensif serta penglibatan komuniti sebagai mata dan telinga kepada agensi keselamatan berkenaan.


Katanya, ancaman keselamatan semakin kompleks dan memerlukan ESSCOM perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk jenayah siber, penyeludupan senjata dan pemerdagangan manusia.



“Setakat ini, ESSCOM terus komited menjalankan tugas sebagai perisai utama negara di timur Sabah dengan memastikan perairan dan daratan negeri ini kekal aman dan selamat,”katanya dalam satu kenyataan media, hari ini sempena ulang tahun ESCCOM ke-12.


Menurutnya, ESSCOM masih relevan, khususnya dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan yang terbukti menerusi rekod pelbagai kejayaan mengurangkan kes penculikan untuk tebusan dengan ketara, aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI, sekaligus menjadi benteng utama keselamatan di pantai timur Sabah.


Mohd Zaki berkata, statistik menunjukkan sebanyak 59 percubaan penculikan berjaya digagalkan ESSCOM sepanjang tempoh 12 tahun penubuhannya.


Selain itu, katanya, lebih 16, 000 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu sejak 2013 dan lebih 500 bot nelayan asing turut dihalau atau ditahan kerana menceroboh perairan negara dalam tempoh sama.


“Kejayaan itu turut dipacu oleh penggunaan aset berteknologi tinggi, termasuk radar dan dron pemantauan, selain kerjasama rapat dengan negara jiran seperti Filipina dan Indonesia melalui rondaan trilateral.


“ESSCOM juga berjaya memulihkan keyakinan komuniti tempatan dan pelabur terhadap tahap keselamatan di kawasan ESSZone yang sebelum ini dianggap ‘panas’,”katanya lagi.


Sehubungan itu, beliau menyeru warga di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) agar sentiasa menyokong dan menghargai kewujudan ESSCOM di Sabah.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page