Ewon adakan pertemuan dengan Jin Zhe bincang pemerkasaan keusahawanan Sabah
12 November 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, bagi membincangkan usaha memperkasakan keusahawanan di Sabah.
Kedua-dua mereka adalah pengerusi bersama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.
“Kami bersetuju tampil bersama untuk terus membangunkan sektor keusahawanan, francais dan koperasi di Sabah bermula dengan pemantapan Jawatankuasa Bersama ini serta kebersamaan dalam beberapa program terkait keusahawanan, francais dan koperasi.
“KUSKOP akan terus berinisiatif untuk melengkapkan usaha-usaha Kerajaan Sabah khususnya melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) sesuai dengan apa yang saya pernah sebut selama ini, Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara - Perspektif KUSKOP,” kata Ewon dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Ewon turut menyatakan sasarannya pada tahun depan untuk meningkatkan pembiayaan kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS), francais dan koperasi Sabah sekurang-kurangnya RM1 bilion melalui tujuh agensi pembiayaan di bawah KUSKOP iaitu Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp, PERNAS dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
“Pada tahun 2023, kesemua agensi ini telah menyalurkan jumlah pembiayaan sebanyak RM953.9 juta kepada 53,044 usahawan PMKS, francais dan koperasi di Sabah.
“Harapan saya, sasaran untuk meningkatkan pembiayaan sehingga RM1 bilion kepada usahawan PMKS, francais dan Koperasi di Sabah tahun depan, dapat dicapai,” katanya
Comentaris