top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon Alu-alukan Cadangan Projek Rehabilitasi Kalawot


Ewon (tengah) bersama Mariani (kedua dari kanan) selepas taklimat

18 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan cadangan projek rehabilitasi Gibbon atau nama tempatannya Kalawot di Kadamaian.


“Saya telah berkesempatan menerima kunjungan daripada aktivis GREP, Mariani Ramli dan Surena Nuid yang memberikan penerangan kepada saya mengenai konsep, wawasan dan pengisian projek rehabilitasi Kalawot yang mereka cadangkan di Kadamaian.


“Projek seumpama ini telah diadakan di beberapa negara Asean dan di Malaysia pula, projek ini ada di Pahang. Saya turut mengalu-alukan sokongan Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk projek ini dimulakan di Sabah. Saya berharap ianya turut mendapat sokongan komuniti dan agensi-agensi Kerajaan yang lain,” katanya.


Menurut Ewon, projek seumpama ini adalah bersesuaian dengan aspirasi Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 yang memfokuskan pembangunan ekonomi berasaskan sektor pelancongan, pertanian dan keusahawanan desa.


“Kadamaian memerlukan nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada dan saya percaya projek ini boleh dibangunkan sebagai salah satu nilai tambah. Ianya juga akan dapat meningkatkan kesedaran komuniti mengenai perlindungan dan pemulihan Kalawot selain menjadi pusat pendidikan dan penyelidikan.


“Pihak GREP sedang memuktamadkan tapak projek ini di Kadamaian. Saya berharap ianya dapat dibangunkan seperti Pusat Rehabilitasi Orangutan Sepilok,” kata Ewon.

Comentarios


bottom of page