top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon cadang naiktaraf kolej teknikal sedia ada


23 Mac 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan kepada kerajaan supaya menaiktaraf kolej teknikal sedia ada sebagai universiti teknikal. Beliau berkata, ini akan menjimatkan kos pembinaan bangunan kampus baharu untuk tujuan itu. “Saya menyokong perlu ada institusi pendidikan di Sabah untuk melahirkan lebih ramai graduan dalam pelbagai bidang termasuk teknikal. “Dalam merancang penubuhan universiti teknikal di Sabah seperti yang dinyatakan oleh YB Menteri, adakah ini satu-satunya solusi kepada keperluan untuk melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang teknikal? “Kenapa tidak naiktaraf sahaja institusi sedia ada seperti Kolej Teknikal Yayasan Sabah atau Kolej Universiti Yayasan Sabah menjadi universiti teknikal tersebut? “Ini dapat menjimatkan peruntukan dan juga tidak melibatkan pengambilan kawasan tanah untuk kampus baharu,” kata Ewon yang mencelah semasa Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir.Shahelmey Yahya menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementerian itu, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini. Sementara itu Adun Sulabayan Datuk Dr. Haji Jaujan Sambakong turut mencadangkan supaya sekolah-sekolah dibawah seliaan Kerajaan Negeri Sabah seperti Universiti Kolej Yayasan Sabah dan Institut Pertanian Timbang Menggaris Sabah dinaik taraf dari segi penyediaan kursus pembelajaran profesional yang diiktiraf oleh antarabangsa. Beliau berkata, ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadi pengeluar sumber makanan. “Oleh itu saya mencadangkan agar Institut Pertanian Timbang Menggaris bukan sahaja menjurus kepada akademik tetapi juga sebagai pusat kajian dan penyelidikan (R&D) produk makanan. “Selain Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mempunyai R&D, saya bersetuju sekiranya Timbang Menggaris juga dinaiktaraf sebagai pusat R&D,” katanya. Adun Banggi Mohammad Mohamarin turut bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menaik taraf Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) Papar, di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM). “Institusi itu sudah lama wujud tetapi kemudahannya belum lengkap dan jika ada perancangan pihak kerajaan untuk menaik taraf mungkin ini lebih baik,” katanya.

Comentários


bottom of page