Ewon cadang Sabah bangunkan Pelancongan Religius
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_f1fb82a3e9934f6ca98c784a814adb9b~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_654,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_f1fb82a3e9934f6ca98c784a814adb9b~mv2.jpg)
11 Februari 2025
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Sabah membangunkan Pelancongan Religius sebagai antara tarikan baharu pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau berkata, ia pastinya akan menyerlahkan lagi keunikan dan kemajmukan rakyat Malaysia, khususnya di Sabah yang sudah lama dikenali sebagai tempat di mana keharmonian, perpaduan dan kebersamaan rakyat pelbagai etnik dan agama dapat dilihat.
“Kita boleh melihat keunikan Sabah, di mana Masjid, Gereja, Kuil Hindu dan Kuil Buddha boleh wujud bersebelahan dengan penuh rasa hormat, misalnya di Bukit Padang, Kota Kinabalu dan di beberapa daerah lain.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_a690116fee824f509444a4247dbea4be~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_654,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_a690116fee824f509444a4247dbea4be~mv2.jpg)
“Ini adalah satu nilai yang boleh kita serlahkan melalui pelancongan relegius, supaya para pelancong dari dalam dan luar negara memahami kebersamaan rakyat Malaysia bermula daripada toleransi dan rasa hormat sesama agama yang datangnya daripada pelbagai kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi Sri Subramaniar Temple Lok Kawi, di sini, sempena sambutan Thaipusam, hari ini.
Ewon berkata, beliau akan mencadangkan kepada rakan-rakan kepimpinan terutama di Kementerian Pelancongan untuk melihat Ziarah atau Pilgrimage Religius di Sabah dibangunkan menjadi tarikan pelancongan yang utama di negeri ini.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_37044562bfb743d5b3f9aded7ee32d85~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_654,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_37044562bfb743d5b3f9aded7ee32d85~mv2.jpg)
“Saya akan mengangkat cadangan ini untuk perhatian dan penelitian Kementerian Pelancongan, bagaimana ianya dapat dibangunkan dan dimasukkan dalam pakej Tahun Melawat Malaysia ataupun Tahun Melawat Sabah sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Saya percaya ini boleh dibangunkan di Sabah dan akan menjadi kekuatan baru,” katanya.
Beliau berkata, di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sekiranya cadangan itu dapat dibangunkan, beliau pasti agensi-agensi kementerian boleh menyediakan sokongan pembiayaan kepada industri pelancongan.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_0b79335a025c452183af5d1dd3832384~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_654,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_0b79335a025c452183af5d1dd3832384~mv2.jpg)
“Di peringkat kementerian, kita telah menyediakan beberapa program sokongan antaranya program Jejak Koperasi. Sekiranya pakej pelancongan atau tempat peranginan itu diuruskan oleh koperasi, kita sudah ada dana yang kita boleh salurkan untuk menyokong usaha itu.
“Cuma dari segi pakej dan program itu, saya percaya Kementerian Pelancongan boleh melihat lebih jauh bagaimana menarik pelancong dalam dan luar negara ke Sabah untuk religious pilgrimage supaya kita serlahkan lagi keunikan dan keharmonian kaum dan agama di Sabah.
“Bukan hanya setakat keindahan gunung, pulau dan tarikan lain tetapi rasa hormat dan toleransi antara penganut agama yang ada di Sabah boleh dijadikan sebagai tarikan pelancongan,” katanya.
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_83cdca7f4f6245d28eeae9a6d58cf245~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_654,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_83cdca7f4f6245d28eeae9a6d58cf245~mv2.jpg)
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, sebagai wakil rakyat kawasan itu, pada tahun lepas beliau telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada kuil di Lok kawi.
“Tahun ini saya akan teruskan sumbangan saya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab untuk melihat keperluan semua penganut agama yang ada di kawasan Parlimen Penampang.
“Saya juga telah membantu kuil ini mendapatkan dana sebanyak RM150,000 daripada pejabat Perdana Menteri tahun lepas dan seterusnya pada tahun ini saya telah dimaklumkan dengan beberapa keperluan dan saya akan membantu kuil ini mendapatkan dana yang diperlukan,” katanya.
Comentários