top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon dan Armizan kerjasama adakan Dialog Belanjawan 2025 kementerian

Ewon (tengah), Armizan (tiga dari kanan), Suriani (tiga dari kiri) bersama pengurusan tertinggi KUSKOP, KPDN dan Kementerian Kewangan, semasa Dialog Belanjawan 2025.

25 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali bekerjasama mengadakan Dialog Belanjawan 2025 bagi dua kementerian berkenaan.


Sesi dialog ini adalah inisiatif kementerian untuk mendengar pandangan dan cadangan inisiatif daripada pemegang taruh dan pemain industri untuk dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.


“Terima kasih kepada Datuk Armizan kerana bersetuju bekerjasama mengadakan dialog bersama kementerian saya dan ini satu mesej bahawa kita sedia mendengar dan mengangkat pandangan rakyat,” katanya ketika berucap pada sesi Dialog Belanjawan 2025 KUSKOP dan KPDN, di ITCC Penampang, di sini, hari ini.

Ewon berkata, sebelum ini, sesi Dialog Belanjawan 2025 KUSKOP telahpun diadakan di Kuala Lumpur pada 6 Ogos, sesi libat urus bersama wakil persatuan-persatuan penjaja dan peniaga kecil di KUSKOP Putrajaya pada 19 Ogos dan melalui Mesyuarat Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN) di Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu.


“Dengan adanya idea dan input daripada pelbagai pihak, saya yakin kita dapat memperkemaskan strategi bagi mendapatkan hasil terbaik untuk rakyat menerusi Belanjawan 2025,” katanya.


Katanya lagi, pada tahun ini menerusi Belanjawan 2024, hasil daripada sesi libat urus yang diadakan pada 7 September 2023, KUSKOP berjaya mendapatkan peruntukan khas bagi pelaksanaan Projek Pembangunan Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.


“Sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan untuk Projek Pembangunan Tamu Desa di Sabah dan Sarawak yang sedang dilaksanakan ketika ini bagi menaiktaraf atau membina baharu Tamu Desa,” katanya.

Sesi Dialog ini disertai kira-kira 400 orang mewakili usahawan, penjaja, peniaga kecil, persatuan dan koperasi dari Sabah dan Sarawak.


Antara cadangan yang dikemukakan oleh para peserta ialah, tambahan peruntukan Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, pembiayaan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP Plus) khusus untuk Sabah dan Sarawak diteruskan dan penambahbaikan program dan pembiayaan sedia ada untuk koperasi.


Turut hadir Datuk Armizan, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP (Pembangunan Keusahawanan) Datuk Zamri Salleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna dan Pengurusan KPDN Dato Zakaria Shaaban, Pasukan Belanjawan 2025 Kementerian Kewangan Thiagu Vadivalu, ketua-ketua agensi dan pegawai-pegawai kanan KUSKOP dan KPDN.

Comments


bottom of page