top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon dilantik penaung PCGC, salur peruntukan khas bina lapang sasar golf

Ewon (dua dari kiri) menerima baju PCGC daripada Philip.

12 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick hari ini dilantik sebagai Penaung Kelab Pemain Golf Desa Penampang (PCGC).


Perlantikan tersebut dimaklumkan oleh Presiden PCGC Datuk Philip Lasimbang semasa kunjungan kelab itu kepada Ewon yang juga merupakan Ahli Parlimen Penampang, di sini, hari ini.


Pada masa yang sama, Ewon turut bersetuju menyalurkan peruntukan khas beliau sebanyak RM30,000 kepada PCGC bagi membina lapang sasar golf.

Beliau turut menyokong wawasan kelab ini untuk memiliki dan membangunkan padang golf sendiri pada masa hadapan.

Sementara itu Presiden PCGC Philip berkata, Exco PCGC sebulat suara menyokong pelantikan Ewon sebagai Penaung PCGC.


“Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon kerana bersetuju menerima pelawaan menjadi penaung Penampang Countryside Golfers Club dan juga bersetuju memberikan peruntukan sebanyak RM30,000 seperti yang diperlukan kelab ini,” katanya.

“Antara projek penting Kelab ini ialah membina dan mengurus satu driving range di Penampang untuk kegunaan para penggemar atau pemain golf,” katanya.


Philip berkata, kelab itu ditubuhkan antaranya bertujuan menggalakkan minat dalam permainan golf dan menyumbang kepada masyarakat khususnya pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan keagamaan.

Comments


bottom of page