top of page

Ewon galak KOPEKS teroka perniagaan sosial demi manfaat komuniti

nabalunews

7 Februari 2025


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menggesa koperasi agar meneroka perniagaan sosial yang memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.


Beliau menegaskan perkara itu semasa menerima kunjungan hormat Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) di Pejabat TEKUN, Penampang, baru-baru ini.


Kunjungan tersebut membincangkan pelbagai isu berkaitan perkembangan koperasi dan peluang keusahawanan di Sabah.


Dalam pertemuan itu, KOPEKS yang diwakili Pengerusinya, Datuk Dr. Haji Saat Haji Ag Damit, turut mengumumkan beberapa inisiatif baharu, termasuk pengambilalihan sebuah klinik kesihatan sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan tahun ini.


“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha koperasi untuk memperluas dan memberi perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada masyarakat, selaras dengan visi KOPEKS untuk memberi impak sosial yang positif,” katanya, lapor Utusan Borneo.


Dalam perkembangan lain, KOPEKS juga telah memeterai Perjanjian Usahasama (JVA) dengan pemaju bagi membangunkan 640 unit kondominium di Menggatal.


“Dijangkakan projek pembangunan terbabit akan memberi keuntungan sekitar RM30 juta dalam tempoh tiga hingga empat tahun dan keuntungan ini dijangka akan memberikan impak positif kepada koperasi, selain menyediakan peluang perumahan yang berkualiti kepada anggota dan masyarakat setempat.


“Inisiatif ini mencerminkan komitmen KOPEKS dalam meneroka peluang perniagaan baru yang mampan dan berdaya saing di pasaran,” kata Ewon.


Selain itu, KOPEKS juga bakal membuka cawangan ketiga Ar-Rahnu X’Change di Tawau bagi memudahkan akses masyarakat terhadap perkhidmatan pajakan emas yang lebih mesra pelanggan.


Tahun ini sahaja, KOPEKS telah berjaya melancarkan enam perniagaan baharu, termasuk kerjasama strategik dengan ANGKASA bagi menjadi pengedar tunggal minyak pelincir Petronas di Sabah.


Dalam sesi perbincangan, Ewon turut mencadangkan koperasi untuk menambah perkhidmatan yang memberi impak sosial besar, antaranya pusat perkhidmatan ibu bersalin, pusat dialisis, khidmat ambulans kecemasan serta perkhidmatan homestay bagi menarik pelancong ke Sabah.


“Usaha-usaha sedemikian bukan sahaja dapat memberikan impak sosial yang positif, tetapi juga membuka peluang baru dalam perniagaan,” katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat cadangan pindaan dalam perundangan Akta Koperasi, bertujuan menyokong pertumbuhan koperasi yang lebih agresif. Namun, pindaan itu perlu melalui proses perbincangan di Parlimen sebelum dapat dikuatkuasakan.


Ewon juga menggalakkan KOPEKS untuk meneroka potensi pelancongan di Kota Belud, khususnya di Kedamaian, yang kaya dengan keindahan alam semula jadi seperti sungai yang jernih berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu dan pantai yang menarik.


Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan berita baik mengenai peluang pendidikan kepada anak-anak anggota koperasi.


Katanya, Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menawarkan biasiswa kepada anak-anak anggota koperasi yang layak. Selain itu, Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Bank Rakyat, dan ANGKASA turut menyediakan biasiswa bagi pengajian di peringkat diploma, ijazah, dan sarjana.


“Anak-anak anggota koperasi diminta untuk mengambil peluang ini, kerana selain tempat pengajian baharu, banyak peluang pembelajaran yang boleh dimanfaatkan untuk masa depan mereka,” katanya.

Komentar


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page