top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon gesa semua ADUN sokong Ketua Menteri tolak tuntutan Sulu


Ewon (kanan) bersama Hajiji sebelum persidangan DUN bermula.

24 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menggesa semua Adun Sabah menyokong Ketua Menteri Datuk Hajiji Haji Noor menolak tuntutan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.


Sambil menyokong pendirian tegas Ketua Menteri tidak mengiktiraf tuntutan Sulu, Ewon berkata semua Adun perlu bersatu hati memberikan sokongan kepada Ketua Menteri.


"Saya mewakili rakyat Kadamaian ingin menyatakan sokongan penuh kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan jemaah kabinet kerajaan negeri Sabah di atas pendirian tegas tidak mengiktiraf tuntutan (waris Kesultanan) Sulu.


"Kalau boleh, kita semua di sini (Dewan) memberi sokongan yang sama kepada Yang Berhormat Ketua Menteri. Lagi bagus kita ada persamaan, satu hati 78 ADUN yang ada hari ini bangkit berdiri memberikan sokongan," katanya ketika mencelah dengan izin semasa Hajiji menyampaikan ucapan penggulungan, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Ketua Menteri semasa menyampaikan ucapan penggulungan menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ewon dan beberapa ADUN lain berkaitan tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.


ADUN Luyang Phoong Jin Zhe kemudian bangkit mencadangkan kepada Hajiji agar membentangkan usul khas Kerajaan di Dewan Undangan Negeri bagi menolak tuntutan itu.


"Saya mencadangkan supaya Datuk Seri (Hajiji) bentangkan usul khas kerajaan di dewan yang mulia ini supaya kita sama-sama bersetuju mempertahankan kedaulatan negeri kita," katanya.


Sebelum ini, Ewon mengemukakan usul khas agar sidang DUN membuat ketetapan menolak tuntutan Sulu dan agar Kerajaan Malaysia tidak membayar apa-apa keputusan penimbang tara Sepanyol namun ditolak oleh Speaker kerana Ketua Menteri telah mengeluarkan kenyataan tidak mengiktiraf tuntutan Sulu tersebut.


Hajiji berkata: "Kita mengambil pendirian tegas bahawa kita tidak mengiktiraf sama sekali tuntutan ke atas negeri Sabah. Jadi Datuk Speaker, kalau bercakap mengenai keselamatan, memang ianya menjadi satu agenda utama kita".

Commentaires


bottom of page