top of page
nabalunews

Ewon komited laksana Program "The Amazing Youth Carnival" di Kadamaian




26 Oktober 2024


KOTA BELUD: Program "The Amazing Youth Carnival" yang dijadualkan berlangsung pada 10 November ini di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang, Kota Belud, diharapkan dapat menjadi satu platform berimpak tinggi dalam memupuk kesedaran mengenai aspek kesihatan dan kesejahteraan belia di daerah ini.


Program ini dianjurkan bersama oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud, di bawah pimpinan Dr. Pathman Arumugam, dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Taginambur.


Ia turut menerima sokongan dana sebanyak RM5,000 daripada Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.


Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Taginambur merangkap Timbalan Pengerusi Pelaksana program, Johnny Gilong menzahirkan penghargaan atas sokongan Ewon dalam memastikan program ini dapat direalisasikan.


"Datuk Ewon telah menyatakan komitmennya untuk menghadiri majlis perasmian, namun kami juga memahami sekiranya beliau tidak dapat hadir kerana komitmen pentingnya sebagai seorang menteri," ujar Johnny.


Antara aktiviti utama yang akan berlangsung termasuk sesi "Youth Talk & Quiz" berkaitan kesihatan, ceramah oleh PDRM, sesi senamrobik, dan cabutan bertuah.


Pelbagai pameran juga akan disediakan oleh agensi berikut :


PDRM: Menyediakan informasi berkenaan jenayah dadah, cap jari, dan kes seksual.


Kesihatan wanita dan minda.


Perlindungan Kanak-kanak atau "Child Protector": Diselia oleh Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Kota Belud.


HIV dan Kelab Berhenti Merokok.


Perkhidmatan Remaja KafeTEEN


Vokasional: Dikelola oleh Institut Kraftangan Kota Belud.


Program ini terbuka kepada orang ramai, termasuk pelajar dari sekolah rendah dan menengah sekitar Kota Belud, dengan harapan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan belia serta komuniti.


Dengan pelbagai aktiviti menarik dan pameran informatif, "The Amazing Youth Carnival" diharapkan dapat memberi inspirasi kepada golongan muda untuk mengutamakan kesejahteraan mereka dan menjadi agen perubahan positif dalam masyarakat.

תגובות


bottom of page