top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon komited sedia geran aktiviti tahunan untuk semua sekolah Parlimen Penampang

18 Januari 2025


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick komited untuk terus menyediakan geran aktiviti tahunan kepada semua sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah pendidikan khas dalam kawasan Parlimen Penampang tahun ini.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, setiap sekolah rendah akan menerima geran aktiviti sebanyak RM5,000 dan sekolah menengah serta pendidikan khas sebanyak RM10,000 sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR)


“Saya telah mulakan pemberian geran aktiviti tahunan kepada semua sekolah di kawasan Parlimen Penampang pada tahun 2023, diteruskan pada tahun 2024 dan tahun ini.


“Mudah-mudahan untuk tahun ini kita akan adakan sekitar bulan Mac nanti di salah satu sekolah dalam kawasan Penampang ini,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan “The Saints Primary School” Penampang 2025, di Kompleks Sukan Penampang, di sini, hari ini.


Karnival Sukan itu adalah anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK. St Theresa Inobong, SK. St Joseph dan. SK St Paul Kolopis.


Ewon berharap karnival seumpama itu yang pertama dianjurkan akan menjadi acara tahunan.


“Selaku Ahli Parlimen Penampang, saya akan memberi sokongan penuh kepada inisiatif seperti ini. Saya yakin inisiatif ini dapat memupuk semangat kebersamaan di kalangan PIBG dan membina semangat mahu membuat yang terbaik di kalangan para pelajar,” katanya.


Pada majlis itu, beliau mengumumkan untuk menyumbangkan RM10,000 lagi masing-masing kepada PIBG SK St Theresa Inobong, SK St Paul, Kolopis serta SK St Joseph Penampang.


“Ini adalah sumbangan menggunakan peruntukan ahli parlimen yang dipertanggungjawabkan kepada saya.


“Juga sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada ketiga-tiga sekolah yang mengambil inisiatif memulakan penganjuran pertama kali sukan The Saint School,” katanya.

コメント


bottom of page