top of page

Ewon komited sokong aktiviti sukan warga KUSKOP

nabalunews

12 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Ewon Benedick terus komited menyokong aktiviti sukan warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai galakan membudayakan sukan dan gaya hidup sihat.


Beliau berkata, aktiviti sukan bukan sekadar hobi tetapi dapat meningkatkan kesihatan mental, memupuk semangat berpasukan dan kerjasama di kalangan warga KUSKOP.


“Oleh itu saya telah menyampaikan sumbangan sebagai sokongan kepada warga KUSKOP yang menyertai Ekspedisi Gunung Kinabalu dan Karnival Sukan Damak KUSKOP 2025.

“Selain itu, saya juga akan menaja perbelanjaan johan kategori lelaki dan wanita pertandingan Damak KUSKOP untuk menyertai Kejohanan Dart Kota Belud di Sabah yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas menyampaikan sumbangan kepada wakil Ekspedisi Gunung Kinabalu dan acara ringkas perasmian Karnival Sukan Damak KUSKOP 2025, di sini, hari ini.


Ekspedisi Gunung Kinabalu yang akan diadakan pada 21 dan 22 Februari ini disertai 20 warga KUSKOP, diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Sri Khairul Dzaimee Daud.

Mengenai pertandingan Dart, Ewon berharap, Liga Dart Tertutup KUSKOP terus berkembang sebagai platform pencarian bakat baharu dalam sukan dart kementerian.


Kejohanan Liga Dart Tertutup peringkat KUSKOP yang dianjurkan setiap tahun sejak 2023 oleh Kelab Sukan & Kebajikan KUSKOP (KESUKMA) akan disertai 24 peserta dan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kategori lelaki, regu lelaki dan trio (campuran).


Pada awal penganjuran pertandingan Liga Dart Tertutup KUSKOP, ia dikenali sebagai Liga Ramadan The Marksmen, yang hanya mempertandingkan kategori perseorangan dan beregu. Namun, edisi 2025 menyaksikan pembaharuan dengan penambahan kategori Trio Campuran, sekali gus membuka peluang kepada penyertaan peserta wanita buat pertama kali.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan KUSKOP, Intan Yusmahani Md Yunos merakamkan penghargaan kepada Datuk Ewon atas sokongan menjayakan karnival itu.


“Kami amat menghargai sokongan dan sumbangan YB Datuk Ewon dalam menjayakan karnival ini. Ia bukan sahaja memberi peluang kepada bakat-bakat baharu untuk menyerlah, tetapi juga mengukuhkan semangat kesukanan dalam kalangan warga KUSKOP,” katanya.


Beliau berkata, penganjuran karnival ini juga merupakan sebahagian daripada usaha mengenal pasti pemain berbakat yang akan mewakili KUSKOP dalam Kejohanan Sukan Dart di peringkat kebangsaan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page