top of page
nabalunews

Ewon komited terhadap pembangunan sukan dan kesenian di Kadamaian



15 Oktober 2024


KOTA BELUD: Komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick terhadap pembangunan sukan dan kesenian di kawasan Kadamaian bukan sahaja dilihat sebagai usaha untuk meningkatkan keterlibatan golongan muda dalam aktiviti yang sihat, tetapi juga memupuk semangat kecintaan terhadap warisan budaya tempatan.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, sekali lagi menzahirkan komitmennya terhadap pembangunan sukan dan kesenian di Kadamaian, Kota Belud menerusi penyampaian sumbangan kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kebayau, Kota Belud pada 14 Oktober lalu.


Sumbangan ini adalah bagi pembelian kelengkapan sukan memanah serta satu set gong bagi pembangunan kesenian yang akan dimanfaatkan oleh murid-murid SK Kebayau.


Pemaju Masyarakat di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, mewakili Ewon menyerahkan sumbangan kepada Justin Sarapon, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan SK.Kebayau, Kota Belud.


"Dengan adanya sokongan ini, kami berharap dapat memperkukuhkan lagi aktiviti sukan dan seni budaya di sekolah, sekaligus menggalakkan murid-murid terlibat dalam pelbagai bidang," kata Justin.


Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian, Carlye Lajimin, ketika ditemui menyatakan bahawa Ewon telah memberikan komitmen untuk menyalurkan bantuan keseluruhan berjumlah RM5,000 kepada PIBG SK Kebayau bagi menyokong pembangunan sukan dan kesenian di sekolah tersebut.


"Ini merupakan satu daripada inisiatif berterusan Ewon dalam memperkasakan pendidikan dan pembangunan pelajar melalui pelbagai platform," jelas Carlye.

Comments


bottom of page