Ewon komited teruskan kepimpinan di Kadamaian, sempurnakan Pelan Pembangunan Kadamaian
30 Disember 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick komited meneruskan kepimpinan di kawasan Kadamaian dan menyempurnakan Pelan Pembangunan Kadamaian.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, wawasannya sebagai wakil rakyat Kadamaian adalah membangunkan kawasan ini berasaskan dua sektor ekonomi utama iaitu pertanian dan pelancongan serta penyediaan atau penaiktarafan kemudahan infrastruktur asas serta bidang keusahawanan desa.
“Oleh itu, Pelan Pembangunan Kadamaian 2020 – 2035 yang telah dibangunkan daripada aspirasi masyarakat Kadamaian menjadi rujukan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih pesat dan sistematik di kawasan ini.
“Di bawah Pelan ini, beberapa projek dan inisiatif seperti Projek Tamu Desa dan Projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), telah dilaksanakan atas usaha gigih pelbagai pihak yang akhirnya memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan pelan pembangunan ini, seterusnya membawa perubahan positif kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santuni MADANI KUSKOP Bersama Komuniti Kota Belud sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Ewon berharap semua keperluan dan keutamaan rakyat Kadamaian yang telah dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2025, dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Ketika ditemui pemberita kemudian, Ewon berkata, beliau menghargai pertimbangan dan seterusnya kelulusan seperti yang diumumkan Ketua Menteri dalam ucapan pada majlis itu mengenai permohonan rakyat Kadamaian.
“Saya menghargai pertimbangan dan seterusnya kelulusan daripada Ketua untuk meneruskan penaiktarafan kawasan ekonomi desa atau pusat tamu Kadamaian di Taginambur sebanyak RM1 juta.
“Kita akan membina tempat letak kereta yang lebih luas di kawasan ini dan juga membina atap sebahagian kawasan ini yang tidak mempunyai atap untuk memberi keselesaan kepada ibu-ibu yang berjualan di sini. Ini adalah permohonan ibu-ibu yang berjualan di sini.
“Manakala RM500,000 pula adalah untuk membina sebuah dewan komuniti Kampung Tambulaung kerana kawasan ini dulu milik mereka tetapi diserahkan kepada Majlis Daerah Kota Belud.
“Apabila mereka ingin menggunakannya, mereka terpaksa membayar sewa. Sebab itu permohonan mereka wajar diberi perhatian sebagai sumbangan semula atau ehsan mereka menyerahkan kawasan ini untuk dibangunkan sebagai pusat tamu,” katanya.
Mengenai majlis itu, Ewon berharap sambutan seumpama ini dapat memperkasakan lagi hubungan persaudaraan, persahabatan, perpaduan dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.
Comments