Ewon kunjungi Bahagian-Bahagian KUSKOP, sampaikan cenderamata dari usahawan sosial
18 Disember 2024
PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengunjungi Bahagian-Bahagian Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk menyampaikan cenderamata daripada usahawan perusahaan sosial sempena sambutan Natal.
Biskut itu ditempah khas daripada perusahaan sosial Silent Teddies Bakery yang mengambil bahagian dalam sambutan Hari Perusahaan Sosial anjuran KUSKOP beberapa bulan lalu. Perusahaan ini juga mendapat penarafan Perusahaan Sosial (SE) daripada KUSKOP dan juga persijilan halal.
Ewon memulakan kunjungan di Ibu Pejabat Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Bahagian Business Licensing Electronic Support System (BLESS), Bahagian Pembangunan Koperasi Penjaja dan Peniaga Kecil (BPKPPK), Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor (BPFV), Bahagian Pembangunan Ekosistem dan semua bahagian Kementerian termasuk Pejabat Ketua Setiausaha (KSU) KUSKOP.
Ewon berkata, sebagai sokongan kepada perusahaan sosial, beliau menempah cenderamata tersebut daripada Silent Teddies Bakery.
“Walaupun banyak pembekal biskut yang lain, tetapi saya memilih untuk membuat tempahan di pusat itu sebagai sokongan kepada usahawan di kalangan masyarakat istimewa agar mereka juga boleh mencapai kejayaan seperti usahawan-usahawan lain pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan dan mengagih-agihkan cenderamata Natal kepada warga KUSKOP, di sini, hari ini.
Ewon berkata, kunjungan tersebut juta sebagai tanda penghargaan beliau kepada semua warga KUSKOP atas perkhidmatan cemerlang mereka sepanjang tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya.
“Hari ini saya meluangkan masa mengunjungi semua pejabat Bahagian di KUSKOP untuk menyampaikan penghargaan terima kasih saya kepada semua pegawai dan staff setiap Bahagian yang telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada negara, kerajaan, kementerian dan rakyat khususnya stakeholders sepanjang tahun ini.
“Saya juga doakan agar semuanya terus diberkati dengan kesihatan dan kesejahteraan bersama keluarga serta dapat memberikan khidmat yang lebih baik lagi pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata, ini adalah antara inisiatif beliau untuk menyokong perusahaan sosial yang melibatkan anak-anak dan masyarakat istimewa. Mereka juga turut menyumbang kepada negara kita melalui aktiviti keusahawanan sosial.
“Saya berharap kunjungan ini dapat memperkasakan semangat kebersamaan warga kerja KUSKOP dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.
Pada masa yang sama Ewon turut melancarkan Tabung Sumbangan Misi Bantuan Banjir 2024 KUSKOP dan seterusnya menyampaikan sumbangan sebanyai RM10,000 untuk tabung itu.
Comentarios