top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon lancar inisiatif baharu PERNAS untuk golongan pesara

Ewon (tiga dari kanan) menyampaikan pembiayaan PERNAS kepada salah seorang usahawan francais Sabah.

21 Sept 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan produk baharu, Program Inisiatif Keusahawanan Veteran dan Pembiayaan (I-VIP) untuk golongan pesara dan veteran.


Program baharu itu dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick pada Karnival PENAS, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.


Ewon berkata, melalui program ini, PERNAS memperuntukkan nilai pembiayaan RM3 juta dan dijangka dapat melahirkan 200 usahawan baharu serta mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan.


“Justeru, saya berharap rakyat Sabah mengambil peluang ini untuk mendaftar sebagai peserta program I-VIP PERNAS,” katanya.


Ewon berkata, program I-VIP membuktikan usaha Kementerian dan agensi memperkasa usahawan bukan sahaja dalam kalangan golongan belia, malah komited membantu golongan veteran dan pesara.


“Melalui program ini, peserta akan menerima bantuan pembiayaan, bimbingan, latihan dan khidmat nasihat daripada PERNAS.


“Antara kumpulan sasaran adalah golongan pesara badan beruniform, pesara kerajaan, pesara agensi korporat atau swasta atau yang menerima ‘Voluntary Separation Scheme’ (VSS) serta ‘Mutual Separation Scheme’ (MSS),” katanya.


Lebih 100 usahawan dan pempamer perniagaan menyertai karnival ini iaitu usahawan francais, prafrancais, usahawan tempatan yang mempromosikan perkhidmatan, makanan, bahan segar, kraftangan, produk tradisional serta trak

makanan.


Pada majlis ini, turut diadakan Sesi Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERNAS dan Serai Group Sdn Bhd (Serai Group) yang bertujuan mengukuhkan kerjasama kedua-dua belah pihak dalam pembangunan perniagaan, pengembangan pasaran dan inisiatif sokongan keusahawanan.


Hadir sama Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan Sabah (MIDE) Datuk Thomas Logijin, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) Leonard Stephen Poyong dan Ahli Lembaga Pengarah PERNAS, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS dan ketua-ketua agensi KUSKOP.

Comments


bottom of page