Ewon lancar Tamu Desa Pelakat Sipitang, luluskan peruntukan bina Tamu Desa Bamban
- Wartawan Nabalu News
- 8 hours ago
- 2 min read

19 April 2025
SIPITANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, merasmikan Tamu Desa Pelakat di Kampung Pelakat, Sipitang bernilai RM200,000 yang kini menjadi pusat aktiviti keusahawanan komuniti setiap Ahad.
Beliau berkata, premis itu adalah sebahagian daripada 94 projek Tamu Desa yang telah dibina dan dinaik taraf di Sabah dan Sarawak melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun lalu.
“Oleh kerana ada penjimatan perbelanjaan daripada pelaksanaan premis Tamu Desa 2024, kita akan menaik taraf Tamu-Tamu Desa sedia ada seperti yang dikemukakan oleh para pemimpjn setempat.
“Hari ini semasa kunjungan saya ke Kampung ini, saya dimaklumkan keperluan tambahan untuk membina kawasan tempat letak kereta di Tamu Desa Pelakat dan saya akan memastikan ia dapat dilaksanakan untuk keselesaan para peniaga dan pengunjung melalui peruntukan yang dibolehkan kepada KUSKOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Tamu Desa Kg.Pelakat dan Majlis Jamuan Raya Sekampung, di tapak Tamu Desa Pelakat, di sini, hari ini.
Ewon berkata, KUSKOP akan membina lebih banyak premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak tahun ini.
“Pada tahun ini kita akan membina lebih banyak premis Tamu Desa melalui Belanjawan 2025 yang menyediakan peruntukan kepada Kementerian saya untuk meneruskan pelaksanaan projek pembangunan Tamu Desa.
“Dana awal yang kita terima tahun ini adalah RM10 juta. Bagaimanapun saya telah memohon kepada YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk ditambah RM10 juta lagi kerana tahun lepas kita menerima peruntukan sebanyak RM20 juta.
“Saya telah menyatakan pandangan, kalau boleh setiap tahun jumlah yang sama itu dapat disalurkan supaya kita dapat membantu lebih ramai usahawan tamu di luar bandar di seluruh Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, KUSKOP akan melaksanakan projek-projek dengan nilai sebanyak RM10 juta terlebih dahulu.
“Kita juga telah mengemukakan cadangan bagi Kementerian ini supaya program pembangunan Tamu Desa dijadikan program tahunan dan diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13),” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin Datuk Dr.Yusof Yacob dan para pemimpin setempat.

Seterusnya Ewon mengunjungi Kg.Bamban Sipitang dan meninjau tapak cadangan pembinaan Tamu Desa susulan permohonan masyarakat di kampung ini yang memerlukan premis lebih baik untuk berjualan pada hari tamu.
Beliau bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membina premis Tamu Desa Bamban untuk dilaksanakan pada tahun ini.
Turut sama dalam lawatan ke Kg Bamban tersebut ialah Pegawai Daerah Sipitang Abd Karim A.M Zahari dan Presiden Persatuan Lundayeh Sabah Datuk Pengiran Lalung.
Comments