top of page

Ewon lancarkan Live Hub Studio TikTok Shop TEKUN Nasional kedua

Wartawan Nabalu News

17 Mac 2025


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan Live Hub Studio TikTok Studio TEKUN Nasional yang kedua sebagai usaha memperkasakan usahawan tempatan melalui ekosistem e-dagang yang inovatif.


Inisiatif ini adalah kerjasama strategik dan komitmen berterusan antara TikTok Shop dan TEKUN Nasional yang telah mengumumkan pelaburan hampir RM3 juta bagi membangunkan serta mengendalikan TikTok Shop Live Hub di seluruh Malaysia.


Kemudahan ini bakal memberi akses kepada usahawan untuk memanfaatkan platform digital dalam mengembangkan perniagaan mereka.


Menurut Ewon, inisiatif ini adalah langkah penting dalam memacu pembangunan ekosistem e-dagang negara, khususnya di Kuala Lumpur.


“TikTok Shop Live Hub ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan digital tempatan, membuka lebih banyak peluang untuk peniaga kecil dan sederhana serta mencipta ruang inovatif bagi pencipta kandungan tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis itu, di ibu pejabat TEKUN Nasional, di sini, hari ini.

Ewon turut berkongsi kejayaan kerjasama antara TikTok Shop dan TEKUN Nasional sejak 2024, yang telah melatih lebih 100 penjual di Selangor.


“Hasilnya, jualan mereka meningkat lebih RM2.3 juta dengan peningkatan pesanan sehingga 300 peratus.


Sementara itu ketika ditemui pemberita kemudian, Ewon berkata antara fokus utama kementeriannya tahun ini dan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) adalah pensekalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Beliau berkata, kementeriannya akan membantu perusahaan kecil yang berpotensi untuk berkembang menjadi perusahaan bersaiz sederhana.


“Ini akan dilakukan melalui pelbagai skim sedia ada dan inisiatif baharu oleh kementerian serta agensi-agensi termasuk geran padanan, pembelian mesin baharu, pendigitalan operasi dan banyak lagi.

“Kementerian ingin melihat lebih banyak perusahaan sederhana menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini,” katanya.


Ewon berkata, dalam usaha membantu perusahaan bersize sederhana, kementeriannya tidak mengabaikan usahawan mikro dan informal.


“Sebab itu, sebagai langkah sokongan, kementerian membangunkan fasiliti seperti Live Hub Studio TikTok Shop di Pejabat Tekun Nasional.


“Setakat ini dua studio telah dilancarkan iaitu di Sabah dan di Kuala Lumpur, manakala empat lagi akan dibangunkan dalam masa terdekat.


“Kemudahan ini memberi peluang kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka secara terus kepada pelanggan melalui platform digital,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, berkata, pengembangan TikTok Shop Live Hub di Kuala Lumpur mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


“Kemudahan kekal ini di ibu pejabat TEKUN Nasional menunjukkan kesungguhan kami dalam membekalkan alat, pengetahuan dan sokongan yang diperlukan oleh usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui e-dagang,” katanya.


Selain menyediakan penyelesaian pembiayaan mudah diakses, TikTok Shop LIVE Hub juga berperanan dalam merapatkan jurang penyertaan digital, membina jenama, serta mengukuhkan komuniti usahawan melalui kandungan berkualiti tinggi.


TEKUN Nasional menyatakan komitmennya untuk terus membantu usahawan mikro dan informal, termasuk menyediakan pembiayaan pembangunan serta melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang memanfaatkan platform digital.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page