Ewon lancarkan Program Jelajah Eko-Pelancongan GSO Kadamaian

29 Januari 2022
Oleh Mark Gilbert Mijoh Jr
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick melancarkan Program Jelajah Eko Pelancongan Kadamaian 2022 anjuran Group Siou Otolikudan (GSO) di Dataran Kadamaian Square, pagi hari ini.
Ewon dalam ucapan ringkas semasa upacara flag-off program tersebut menyatakan sokongan penuh ke atas penganjuran program itu.
“Saya berharap program seumpama ini diteruskan di DUN Kadamaian, bukan hanya bagi mempromosikan aktiviti pelancongan luar bandar tetapi sebagai wadah mengeratkan silahturahim antara ahli-ahli kelab dengan masyarakat Kadamaian,” katanya.

Ewon turut mencadangkan kepada para peserta agar mengongsikan gambar-gambar jelajah mereka di laman media sosial masing-masing sebagai salah satu inisiatif promosi pusat-pusat pelancongan yang dilawati agar dapat dilihat oleh pengguna media sosial yang lain.
Pada majlis ringkas itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan RM1,000 bagi membantu menjayakan program tersebut.
Sementara itu, Pengerusi GSO, Muzin Soborong berkata program tersebut bertujuan mempromosikan pusat-pusat eko pelancongan di sekitar Kadamaian dan merapatkan silaturahim antara ahli-ahli kelab.

“Program ini adalah aktiviti kelab yang pertama tahun ini dan akan mencakupi jelajah ke 13 eko pelancongan DUN Kadamaian.
“Kami akan memulakan jelajah ini di Minakut Kg. Bundu Paka, kemudiannya Silou Silou Kg.Koung Malaan, Daradaat Kg. Ratau, Ikan Jinak Kg. Melangkap Tiong, Norutipan Kg. Gensurai, Kalangadan Kg. Nahaba, TTV Kg. Tegudon, 3V Kg. Nahaba, Double View Guesthouse Kg. Tombotuon, Losok Kg. Purak Ogis, Tubing Kg. Tombotuon Paka, Piramid Hill Kg. Sayap dan berakhir di Lonsudon Camping Kg. Bundu Paka,” katanya.
Program jelajah itu disertai 89 ahli kelab GSO Kadamaian.

Commentaires