top of page

Ewon luluskan bantuan pembangunan koperasi RM300,000 kepada KOPSTAY Kundasang

Wartawan Nabalu News

15 Mac 2025


KUNDASANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick meluluskan Geran Bantuan Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sejumlah RM300,000 kepada Koperasi Walai Tokou Kundasang Sabah Berhad (KOPSTAY).


Beliau berkata, bantuan itu adalah untuk membantu memperluaskan perkhidmatan koperasi berkenaan mengembangkan produk baharu pelancongan, glamping dan camping site.


“Dengan adanya tambahan glamping dan camping site, saya berharap KOPSTAY dapat menarik lebih ramai pelancong ke Kundasang, sekali gus merancakkan lagi ekonomi komuniti setempat melalui sektor koperasi dan pelancongan berasaskan komuniti.


“KOPSTAY telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan pencapaian seperti Anugerah Desa Lestari dan tadbir urus yang tersusun.


“Saya gembira melihat koperasi ini terus berkembang dan mengambil inisiatif untuk menambah nilai perkhidmatan mereka melalui glamping dan camping site.

“Bagi menyokong usaha ini, kementerian meluluskan bantuan pembangunan RM300,000 kepada KOPSTAY serta geran program JEJAK Koperasi sebanyak RM12,500,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke Koperasi Walai Tokou Kundasang Sabah Berhad (KOPSTAY) yang terletak di Kg Sinisian, Kundasang dalam lawatan kerja sehari di sini, hari ini.


Ewon turut menjemput KOPSTAY menyertai Ekspo Pelancongan Koperasi yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada bulan ini untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.


“Ini adalah peluang terbaik KOPSTAY mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pasaran yang lebih luas.

“Saya yakin koperasi ini mampu menjadi contoh kepada koperasi lain dalam sektor pelancongan,” katanya.


KOPSTAY terlibat dalam perkhidmatan homestay yang dipakejkan dengan pelbagai pengisian dan telah mencapai beberapa pencapaian antaranya Anugerah Desa Lestari. Koperasi ini juga memiliki tadbir urus yang tersusun.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page