top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon mahu Projek Tamu Desa di Sabah siap ikut jadual

28 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu pelaksanaan Projek Tamu Desa di Sabah berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.


Beliau berkata, ini penting bagi memastikan kesemua 36 tamu desa yang telah dipohon dalam fasa pertama dapat disiapkan selewat-lewatnya Julai ini.


“Bagi pelaksanaan fasa pertama, kita telah menyediakan peruntukan sebanyak RM7 juta bagi melaksanakan kesemua 36 permohonan untuk menaiktaraf dan membina baharu Tamu Desa di seluruh Sabah.


“Antara Tamu Desa yang telah diluluskan dan akan dilaksanakan ialah di kawasan Kota Belud, Tuaran, Penampang, Pitas, Kota Marudu, Papar, Kuala Penyu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Tongod, Telupid, Nabawan, Ranau, Tenom dan Sipitang,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Sesi Libat Urus Bersama Pegawai-Pegawai Daerah Sabah, di Hotel 7 Suria, di sini, kelmarin.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Zamri Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional Datuk Adam Abd Ghani.


Ewon berharap baki peruntukan RM10 juta untuk Projek Tamu Desa dapat dilaksanakan pada tahun ini agar usaha kerajaan membantu menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada para peniaga mencapai sasaran.


Sebelum sesi libat urus bermula, Ewon menyerahkan surat pelantikan kepada 16 pegawai daerah Sabah sebagai pegawai penguasa Program Tamu Desa dan 7 pegawai daerah Sabah sebagai pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil (MPUKKPPD) yang baharu.


Ewon berkata, pegawai-pegawai daerah yang dilantik itu akan memantau pelaksanaan projek Tamu Desa bagi fasa pertama di kawasan masing-masing.


“Saya berharap pegawai-pegawai daerah yang belum mengemukakan permohonan dapat berbuat demikian untuk pelaksanaan fasa seterusnya agar kita dapat melaksanakan pembinaan Tamu Desa di seluruh Sabah seperti yang diperlukan oleh para penjaja dan peniaga kecil.


“Projek Tamu Desa ini adalah inisiatif saya untuk membantu para penjaja dan peniaga kecil di kawasan luar bandar menyediakan kemudahan yang lebih selesa.


“Sebelum ini, KUSKOP tidak pernah membina gerai-gerai atau tamu-tamu desa, hanya memberikan pembiayaan melalui agensi-agensi kementerian,” katanya.

Comments


bottom of page