top of page
Wartawan Nabalu News

Ewon mahu YBR salur dana tambahan biaya kursus keusahawan INSKEN di Sabah dan Sarawak


15 Disember 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu Yayasan Bank Rakyat (YBR) terus menyediakan dana tambahan bagi membiayaai yuran usahawan yang menyertai kursus anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di Sabah dan Sarawak pada tahun depan.


Beliau berkata, pada tahun ini, YBR telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM300,000 bagi tujuan itu yang telah memberikan manfaat kepada 1,200 usahawan di kedua-dua negeri itu.


“Oleh itu saya berharap Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) khususnya di Sabah dapat berbincang dengan INSKEN untuk membolehkan Sahabat-Sahabat AIM Sabah mengikuti latihan dan bimbingan daripada INSKEN selain bimbingan sedia ada yang dilaksanakan oleh AIM.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Keluarga AIM Blok Donggongon, di Dewan Gawir Kg.Madsiang, di sini, hari ini.


Ewon yakin perniagaan kecil-kecilan yang dilaksanakan oleh Sahabat-Sahabat AIM di Sabah akan terus berkembang maju seperti usahawan-usahawan lain.

“Saya amat bangga melihat pencapaian ramai usahawan AIM di seluruh negara yang bermula daripada perniagaan kecil-kecilan kini menjadi usahawan berjaya dan beralih kepada perniagaan sederhana.


“Kejayaan banyak bermula daripada inspirasi dan sekiranya kejayaan itu boleh memberi inspirasi tidak mustahil Sahabat AIM di Blok Donggongon yang pada ketika ini bersaiz kecil akan menjadi perusahaan besar pada masa akan datang.


“Bagaimanapun, ia memerlukan disiplin dan kerjasama semua pihak termasuk agensi-agensi kementerian dan AIM, sesuai dengan ikrar AIM iaitu saling membantu antara satu sama lain,” katanya.


Ewon turut menyeru agar sahabat-sahabat AIM dapat membayar balik pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan.


“Di antara semua agensi pembiayaan yang dikawal selia oleh kerajaan, AIM adalah yang terbaik dari segi pembayaran balik pinjaman.

“Saya berharap, AIM Sabah juga dapat mencapai 100 peratus pembayaran semula pinjaman untuk membolehkan lebih ramai usahawan atau bakal usahawan yang memerlukan modal tambahan dapat dibantu,” katanya.


Beliau turut menyokong cadangan AIM Sabah untuk menubuhkan koperasi sahabat AIM Sabah.


“Cadangan untuk menubuhkan koperasi sahabat AIM, amat baik dan saya akan memberikan sokongan sewajarnya yang terbaik agar ia dapat direalisasikan.


“Koperasi Sahabat AIM adalah antara 10 koperasi terbaik di Malaysia, mudah-mudahan ia memberi motivasi kepada AIM di Sabah,” katanya.


Ewon berkata, sebagai Menteri KUSKOP, beliau akan terus bekerja keras untuk memastikan semua golongan usahawan, peniaga dan penjaja kecil serta koperasi di seluruh negara khususnya Sabah menerima manfaat daripada program-program bimbingan dan pembiayaan daripada kementeriannya.

“Banyak inisiatif yang telah kita laksanakan di Sabah tahun ini, antaranya Projek Pembanguan Premis Tamu Desa yang tidak pernah dibuat oleh kementerian sebelum ini.


“Kita melaksanakan Tamu Desa sebagai sokongan kepada golongan peniaga kecil-kecilan yang kebanyakannya kaum ibu supaya mereka dapat berniaga dalam keadaan yang lebih selesa,” katanya.


Beliau berkata, pada tahun ini KUSKOP telah membina dan menaiktaraf  92 Tamu Desa di seluruh Sabah dan Sarawak dan empat daripdaanya di Penampang.


Selain itu katanya, kementerian juga memperkenalkan Skim Usahawan Tamu di bawah Tekun Nasional, geran usahawan bumiputera khusus untuk Sabah dan Sarawak iaitu BEEP Plus, yang juga tidak pernah diperkenalkan oleh kementerian sebelum ini.


“Pada tahun depan, saya juga akan memperkenalkan Hab perusahan mikro kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah dan akan melancarkan Studio Tiktok di Sabah pada Februari 2025 untuk membantu usahawan-usahawan kita memasarkan produk mereka melalui platform itu secara online.


“Mungkin pada banyak orang, usaha ini nampak kecil tetapi pada saya, sesuatu yang besar itu perlu bermula daripada langkah dan usaha yang kecil,” katanya.

Commenti


bottom of page