Ewon pemimpin berjiwa rakyat, saya memilih UPKO - Suzie
16 Ogos 2024
PENAMPANG: Salah seorang wakil Perbahasan dari UPKO Bahagian Kota Marudu, Suzie Salapan berkongsi dengan para Perwakilan mengapa beliau memilih untuk menyertai UPKO semasa ucapan perbahasannya di Konvensyen Nasional UPKO 2024 baru-baru ini.
Suzie yang sebelum ini adalah ahli Parti Warisan berkata telah mengambil keputusan untuk menyertai UPKO dengan rasminya pada 29 September tahun lalu dan borang keahliannya diterima oleh Presiden UPKO sendiri, Datuk Ewon Benedick di ibu pejabat parti.
"Terima kasih Datuk Presiden dan keluarga besar UPKO yang sudi menerima saya berada dalam wadah perjuangan ini dan selama lebih kurang setahun saya bersama di dalam keluarga UPKO, saya tidak pernah merasa tersisih, kekok atau dianggap sebagai 'orang baru' kerana saya diberikan layanan yang sama rata.
"Saya juga merasa bahawa keluarga UPKO amat mengalu - alukan kehadiran ahli baharu parti seperti diri saya dalam wadah perjuangan ini.
"Sejujurnya saya sangat gembira, enjoy dan teruja berada di sini dan saya pasti saya tidak silap memilih rumah baharu untuk berjuang, UPKO adalah yang terbaik, semua pemimpin dan ahlinya sangat prihatin dan banyak membantu memotivasikan saya," katanya.
Mengenai penyertaannya ke dalam UPKO meskipun sebelum ini beliau pernah berkhidmat di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Parti Warisan di Tandek dahulu, Suzie berkata beliau tertarik dan terbuka hati untuk menyertai UPKO kerana ciri kepimpinan yang ada pada Datuk Ewon.
"Saya mengenali Datuk Ewon semasa saya menyandang tugas sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) pada masa itu kerana kebetulan Datuk Presiden adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah ketika itu.
"Semasa saya memegang jawatan sebagai PPM Tandek, terlalu banyak cabaran yang dihadapi pada masa itu terutama dari segi dana untuk pengurusan pejabat dan lain-lain keperluan untuk pergerakan kerana pada masa itu, UPPM Tandek langsung tidak memegang sebarang dana, bukan memburukkan tapi itulah hakikatnya.
Namun Suzie berkata satu-satunya menteri yang pernah menjejakkan kaki di pejabatnya di Tandek pada masa itu hanyalah Datuk Ewon sahaja.
"Bukan sekali tapi dua kali walaupun tempoh kita dalam kerajaan yang lepas adalah masa yang sangat singkat. Saya masih ingat lagi ketika saya berjumpa dengan Datuk dan meminta Datuk untuk datang ke Tandek, melawat satu kampung terpencil di pedalaman Tandek, ketika itu Datuk meniti Jambatan Gantung untuk ke sana.
"Datuk telah meluluskan 3 buah rumah mesra rakyat dan meluluskan permohonan orang kampung untuk meratakan kawasan tapak rumah," katanya.
Suzie berkata apa yang amat menyentuh hatinya, pada masa itu adalah mengapa Datuk Ewon sanggup turun padang ke Tandek membantu mereka di sana pada masa itu walaupun dirinya bukan ahli UPKO.
"Saya percaya pada masa itu Datuk ke sana kerana hati nurani dan keikhlasan YB Datuk Presiden untuk membantu rakyat tanpa mengira fahaman agama, fahaman politik ataupun kaum.
"Walaupun pada masa itu saya bukanlah ahli UPKO, namun Datuk Ewon tetap membantu kami.
Katanya jika Datuk Presiden seorang yang memilih bulu, tidak mungkin Datuk Ewon datang membantunya.
"Sebab saya ahli parti Warisan pada masa itu, tapi kerana jiwa Datuk ini tiada istilah pilih kasih dalam membantu rakyat, maka dia datang ke kawasan kami untuk membantu kami di sana.
"Dan dari sana lah saya mengikuti rapat perkembangan Datuk dan saya melihat perjuangannya yang konsisten, sangat terbuka untuk mendengar suara akar umbi.
"Cara kerja dan pendekatan yang beliau tunjukkan sangat menginspirasikan saya secara peribadi.
"TIdak keterlaluan jika saya katakan bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan inilah sebabnya kenapa saya tertarik dengan perjuangan ini kerana inilah antara ciri-ciri pemimpin yang saya mahukan.
Suzie berkata sebagai seorang ahli parti UPKO, beliau amat yakin dan percaya, jika pendekatan dan gerak kerja yang ditunjukkan oleh Datuk Presiden parti dijadikan sebagai teladan dan panduan untuk ahli parti berkerja di peringkat akar umbi, beliau yakin akan ramai lagi pengundi di luar sana yang tertarik
untuk bersama dengan UPKO di dalam wadah perjuangan ini.
Bercakap mengenai Wanita UPKO, Suzie memuji ciri kepimpinan Timbalan Setiausaha Penganjur Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Rowindy Lawrence yang tangkas, lincah dan sering membantu dan membimbing ahli parti sehingga diberi gelaran wanita "Iron Lady UPKO".
Ketika sesi perbahasan di Konvensyen Nasional UPKO 2024 di Dewan Kebudayaan Penampang pada 11 Ogos lalu, Suzie berkata Rowindy adalah contoh kepada ahli Wanita UPKO kerana tangkas, cekal serta memiliki sifat keinsanan dan manusiawi.
Suzie berkata Rowindy berjiwa besar melalui ciri kepimpinannya di dalam parti seterusnya memberi keyakinan kepada ahli wanita UPKO untuk membawa prinsip perjuangan parti ke puncak kejayaan.
"Saya juga ingin memberikan kredit kepada Puan Rowindy, saya berpendapat dia memang Iron Lady dalam parti, amat membantu dan sangat lincah. Terima kasih kepada Puan Rowindy yang banyak membantu dan membimbing saya secara peribadi," katanya.
Mengulas lanjut selepas itu, Suzie berkata dia melihat Rowindy seorang yang amat komited dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di dalam agensi dan berkerja keras untuk membantu parti.
"Semasa Sambutan Kaamatan UPKO yang lepas, saya melihat dan menyaksikan sendiri Puan Rowindy bekerja siang dan malam dalam memastikan segala program ataupun majlis itu berjalan dengan lancar.
"Walaupun sibuk menguruskan acara, beliau tidak lupa untuk membantu para usahawan, setiap kali ada program melibatkan pameran usahawan, beliau adalah orang pertama yang akan bertanya dan memaklumkan serta menyeru para usahawan wanita untuk turut serta dalam program tersebut," katanya.
Tambah Suzie lagi, Rowindy adalah seorang yang sangat terbuka untuk mendengar masalah dan cabaran yang dihadapi golongan wanita khususnya ahli UPKO dan sentiasa mempunyai idea untuk penyelasaian masalah.
"Keikhlasan Puan Rowindy bekerja untuk mengangkat dan menjaga nama baik UPKO agar dihormati oleh para penjawat awam sangat mengkagumkan saya," katanya.
Suzie mengakhiri perbahasannya dengan memetik ungkapan bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher.
“If you want something said, ask a man, If you want something done, ask a women” yang bermaksud jika anda inginkan sesuatu, mintalah dari seorang lelaki. Namun jika anda mahu sesuatu perkara dilaksanakan, maka mintalah daripada seorang wanita," katanya.
Comments